malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam: Usaha cabar kewujudan sekolah Cina, Tamil baru bermula
ADS

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular, sebagai bukan pengakhiran.

Sebaliknya Khairul berkata kes itu baru saja bermula.

"Apa yang berakhir semalam di Mahkamah Persekutuan sahaja apabila mahkamah enggan membicarakan kes ini mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan.

“Yang belum difailkan adalah cabaran di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan di Mahkamah Tinggi

“Isu merit permohonan juga belum dibicarakan dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Jadi kes ini belum berakhir. Ia baru bermula,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan Malaysia dan sebarang undang-undang yang diluluskan selepas merdeka yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah.

Dalam usul yang difailkan pada 23 Okt lalu, Khairul juga seorang peguam memohon pengisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 supaya kewujudan sekolah vernakular diteruskan, adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menamakan menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya semalam, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed antara lain memutuskan parlimen ada bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan, dan isu perlembagaan hanya boleh didengar di Mahkamah Tinggi.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebooknya, Khairul turut melampirkan keratan laporan akhbar bahasa Cina berkenaan keputusan mahkamah itu.

"Akhbar Cina meraikan kejayaan palsu 'kemenangan mereka di Mahkamah Persekutuan semalam berkaitan isu sekolah vernakular. Tak mengapalah, ini semua propaganda perkauman," katanya.

Katanya lagi, tidak timbul isu kalah menang dalam keputusan semalam dan beliau kini sedang menyiapkan dokumen saman untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Tinggi.

Dalam saman asalnya, Khairul parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan.

Menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai 1982 dalam kes penubuhan Universiti Merdeka sebagai asas permohonan, beliau berkata keputusan itu menunjukkan hal-hal bersangkutan dengan pelajaran dan pendidikan bagi maksud rasmi maka jelas Perkara 152 hendaklah digunakan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan merupakan tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang dalam Parlimen.

Seterusnya, Perkara 152 (1)(a) menyatakan tiada siapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain. Perkara 152(1) (b) pula berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri boleh meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam persekutuan.

Lihat Komen