malaysiakini logo
story-image
ADS

Beberapa anggota parlimen mempersoalkan pengurangan peruntukan untuk "projek khas", daripada RM715 juta bagi tahun 2019 kepada RM100 juta tahun depan, seperti termaktub dalam Belanjawan 2020.

Antaranya Shahidan Kassim (BN- Arau) yang menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai “bajet curang” dengan berkata peruntukan projek khas itu khusus untuk projek-projek terdesak yang tidak dirancang, khususnya di luar bandar.

“Saya ingin menyatakan protes, kami ahli-ahli parlimen, saya ingat ahli parlimen PH pun bersetuju, bahawa satu perbuatan curang bajet telah berlaku. Peruntukan diturunkan macam tu saja.

“[...] Ini dipanggil pendekatan curang bajet. Rakyat kena tengok, perubahan ini tak wajar berlaku, dan menteri kewangan (Lim Guan Eng) mesti ambil tanggungjawab kerana dia mengurangkan bajet yang agak ketara,” celahnya.

Shahidan berkata demikian ketika mencelah semasa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali membuat penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang tadi.

Sebelum itu, dalam sesi perbahasan, beberapa anggota parlimen meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan mengenai butiran projek khas dalam Belanjawan 2020, antaranya anggota parlimen Jerantut (BN), Masjid Tanah (PH), Segamat (PH), Beaufort (PH), Kota Marudu (PBS), Rasah (PH) dan Kubang Kerian (PAS).

Jelas Azmin, peruntukan projek khas dikhususkan untuk projek yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan “projek mendesak” terutama di luar bandar, seperti naik taraf jalan, membaiki jambatan, kemudahan sekolah, infrastrukutr, dan lain-lain.

Jelas Azmin, projek tersebut mestilah projek yang tidak termaktub dalam pelan perancangan sedia ada oleh kementerian, jabatan dan agensi, serta perlulah projek yang mematuhi Jadual 1 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966.

Tambahnya, berdasarkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), peruntukan keseluruhan sepatutnya diterima bagi projek khas adalah sebanyak RM5 bilion, iaitu RM1 bilion setahun, namun, katanya, peruntukan yang diterima setakat ini hanyalah sebanyak RM2.46 bilion saja.

Untuk rekod, RMK-11 adalah sebahagian daripada pelan pembangunan lima tahun, dan merupakan pelan untuk jangka waktu 2016-2020.

Menjawab Shahidan, Azmin tidak bersetuju dengan istilah “bajet curang” yang digunakan, dengan mengingatkan perlunya mengambil kira kedudukan kewangan negara yang terbatas kini.

Malah ketika menjawab Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS- Kubang Kerian) yang menyokong Shahidan, Azmin menjelaskan bahawa pengurangan peruntukan untuk projek khas telah berlaku sejak pentadbiran lama lagi.

“Tahun 2019, saya sebut (dapat RM715 juta). Tapi tahun 2018 dan 2017, jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya kita dapat.

“Tapi bagi saya, apabila proses dibuat itu telus dan terbuka, banyak penjimatan boleh dilakukan. Dan kita berdasarkan senarai keutamaan yang dikemukakan oleh negeri dan kawasan parlimen…

“Saya yakin, walaupun jumlahnya (RM100 juta) agak ketat, tetapi dengan proses yang telus dan terbuka, kita boleh melaksanakan projek-projek bagi menjamin kemakmuran rakyat luar bandar,” katanya.

Ketika menjawab cadangan Shahidan agar peruntukan projek khas dipindahkan kepada Kementeran Hal Ehwal Ekonomi daripada Kementerian Kewangan, Azmin menjelaskan sesi libat urus sebenarnya telah pun diadakan dengan semua kementerian bagi menyenaraikan keutamaan projek.

Malah, katanya, dia juga telah “mendapat jaminan” bahawa peruntukan RM100 juta itu hanya akan digunakan untuk projek-projek baru bagi tahu 2020.

“Saya beri jaminan, projek-projek sambungan yang dah berjalan, tak akan berlaku penangguhan dan kementerian kewangan telah bermurah hati untuk menimbangkan supaya RM100 juta hanya untuk projek baru.

“Projek sedang berjalan dan projek sambungan, akan tetap dibuat pembayaran,” katanya lagi.

Lihat Komen