malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin pembangkang Kemboja: M'sia teladan perubahan demokratik
ADS

WAWANCARA | Selepas hidup dalam buangan selama empat tahun, Sam Rainsy ingin kembali ke Kemboja untuk berhadapan dengan Perdana Menteri Hun Sen, yang telah memerintah negara itu secara kuku besi sejak lebih tiga dekad lalu.

Bekas menteri kabinet dan veteran pembangkang Kemboja yang mana partinya Cambodia National Rescue Party (CNRP) telah diharamkan, menyebut Malaysia sebagai inspirasi beliau.

"Kami melihat Malaysia sebagai model. Malaysia mencetuskan inspirasi dan memberi contoh kepada kami. 

"Malaysia telah berjaya membawa perubahan demokratik," katanya kepada Malaysiakini dalam temu bual di Kuala Lumpur petang ini.

Merujuk kepada pilihan raya umum lepas yang menyaksikan BN tewas selepas enam dekad berkuasa, Rainsy berkata Malaysia menetapkan teladan bagi negara-negara Asia Tenggara bahawa perubahan damai dapat dicapai.

"Inilah teladan yang ingin kami ikuti. Kami mahu membawa perubahan demokratik seperti di Malaysia.

"Kepimpinan Malaysia sangat mengagumkan dan kami mengagumi apa yang dicapai oleh rakyat Malaysia," katanya.

Rainsy yang tiba di Kuala Lumpur pada petang Sabtu lalu berkata, selain Malaysia, Indonesia juga merupakan negara yang boleh dipanggil demokrasi di Asia Tenggara.

"Mereka hebat, pengaruh besar mereka akan lebih penting kepada pendemokrasian di seluruh Asia Tenggara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih dan kekaguman kepada Malaysia untuk memulihkan demokrasi, untuk menjadikan Malaysia sebuah demokrasi yang bertenaga, untuk menjadi model bagi pihak lain," katanya.

Sebelum ini, Rainsy mengumumkan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin partinya akan masuk ke Kemboja melalui sempadan Thai tetapi rancangannya berhadapan jalan sukar apabila tidak dibenarkan menaiki pesawat Thai Airways dari Paris pada minggu lepas.

Pemimpin pembangkang itu telah melarikan diri ke Paris pada 2015 selepas disabitkan kesalahan jenayah fitnah dan berdepan hukuman penjara lima tahun dalam kes berasingan. Beliau mendakwa tuduhan itu bermotifkan politik.

'Masuk ke Malaysia kemenangan moral'

Sementara itu, Rainsy, ketika ditanya apa yang beliau harapkan dari Malaysia, berkata: "Tempat perlindungan untuk berada dalam keadaan selamat."

Beliau juga menyifatkan keputusan Malaysia membenarkan beliau masuk ke negara ini sebagai kemenangan moral terhadap propaganda Hun Sen.

"Apabila kami mahu berada dekat dengan negara asal kami dan tidak ada yang mahu menerima kami, Malaysia menerima kami. Kami sangat berterima kasih ...

"Dan ini menyampaikan mesej kepada Hun Sen - bahawa ia merupakan kemenangan moral bagi kami. Kenapa? Kerana Hun Sen mengatakan bahawa saya seorang penjenayah, seorang banduan, pengkhianat, ini propaganda Hun Sen.

"Apabila Malaysia membenarkan saya datang, bermakna saya bukan seorang penjenayah. Sama ada Malaysia atau pun saya tidak perlu mengatakan apa-apa lagi. Cukup hanya isyarat itu untuk menunjukkan bahawa Malaysia tidak mempercayai propaganda Hun Sen.

"Ia adalah kemenangan moral bagi saya bahawa tiada siapa yang percaya Hun Sen," katanya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen berucap pada perhimpunan parti pemerintah CPP.

Sebelum ini, dilaporkan sejak beberapa minggu selepas Rainsy mengumumkan rancangan kepulangannya, kira-kira 50 aktivis pembangkang telah ditangkap di Kemboja.

Polis bersenjatakan senapang juga ditempatkan di sempadan Kemboja dengan Thailand, manakala di ibu negara Phnom Penh, pasukan keselamatan dalam trak melakukan rondaan semasa sambutan kemerdekaan Kemboja pada 9 November lalu.

Minggu lepas, dilaporkan dua pemimpin CNRP, termasuk Naib Presiden Mu Sochua, ditahan oleh pihak berkuasa imigresen ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia cuba mencari negara lain yang sanggup menerima pemimpin pembangkang Kemboja yang dibuang.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata Putrajaya telah menerima senarai dari Phnom Penh berkenaan pemimpin pembangkang yang diminta untuk dihantar semula.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia mempunyai sebab yang baik untuk tidak bersetuju dengan permintaan tersebut kerana individu ini tidak memasuki menggunakan pasport antarabangsa Kemboja.

[Baca berita asal]

Lihat Komen