BERITA

Lokman dakwa Dr M campur tangan kes Najib

11 Nov 2019, 5:28 pagi

Dikemaskini 5 bulan lepas

A
+
A
-

Penyokong kuat Najib Razak yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa wujud campur tangan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membabitkan kes dihadapi bekas perdana menteri itu.

"Saya hadir hari ini hanya untuk memaklumkan bahawa, Mahathir akan menjadi perdana menteri pertama yang kematiannya akan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

"Kezaliman Mahathir tidak akan berhenti hingga nyawanya dicabut malaikat maut.

"Saya datang bukan nak dengar keputusan. Keputusan kita sudah lama tahu.

“Kalau ada sesiapa di sini mengharapkan kes Najib ini digugurkan walaupun kita tengok perjalanan kes memang jelas bahawa setiap apa yang dicakap oleh saksi pendakwaan mengatakan bahawa Jho Low arahkan itu, arahkan ini.

"Saksi-saksi juga mengatakan bahawa yang terlibat sebenarnya memasukkan duit ke akaun Najib ini ialah Nik Faisal Ariff Kamil dan kita dapati bahawa sehingga ke hari ini Jho Low dan Nik Faisal termasuklah Zeti Akhtar Aziz yang meluluskan supaya duit ini dibenarkan masuk melalui empat surat daripada luar negara, semua ini tidak dipanggil menjadi saksi.

"Saya daripada awal sudah tahu memang ada campur tangan daripada Mahathir, kalau tidak ada campur tangan sudah pasti kes ini sudah lama digugurkan," katanya.

Lebih 100 penyokong Najib berkumpul selepas mahkamah membuat keputusan supaya bekas presiden Umno itu membela diri.

Penyokong yang hadir melaungkan "hidup Najib" dan takbir "Allhuakbar" ketika Najib melangkah keluar meninggalkan mahkamah.

Antara pemimpin Umno yang dilihat hadir memberi sokongan kepada Najib, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, tiga Anggota Majlis Tertinggi Umno iaitu, Armand Azha Abu Hanifah, Mohd Puad Zarkashi dan Johan Abdul Aziz serta Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.