malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PARLIMEN | Baru kira-kira setengah jam berlangsung, sidang Dewan Rakyat pagi ini terpaksa dihentikan seketika apabila Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith, sesak nafas dan rebah di kerusinya.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi semasa Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sedang menjawab soalan daripada Salim Sharif (BN- Jempol) dalam sesi jawapan lisan.

Difahamkan Eddin ketika itu baru memasuki dewan apabila beliau tiba-tiba terduduk di kerusi.

Raja Kamarul Bahrin yang sedang menjawab soalan Salim tentang pembelian aset bomba untuk tujuan menangani pembakaran hutan serta maklumat tentang kos lawatan menteri KPKT ke Itali berhenti seketika apabila melihat Eddin rebah di tempat duduknya.

Hal itu menyebabkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, menghentikan sidang seketika dan memanggil petugas kesihatan masuk untuk menghulurkan bantuan kepada Eddin.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, dewan berhenti rehat sebentar untuk beri perhatian kepada timbalan menteri (Eddin).

“Minta bantuan doktor perubatan," katanya.

Pada 21 Oktober, Mansor Othman (PKR-Nibong Tebal) mengejutkan ahli parlimen apabila rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020.

Periksa kesihatan semua MP

Selepas bantuan awal, Mansor kemudian dilaporkan sedar semula dan dibawa keluar dari dewan dengan kerusi roda. 

Sidang tertangguh kira-kira lima belas minit sebelum disambung semula jam 10.43 pagi.

“Minta bertenang, dan berdoa agar YB-YB sihat walafiat,” kata Rashid sebaik menyambung semula sidang.

Sementara itu Eddin dibawa meninggalkan Dewan Rakyat menggunakan kerusi roda kira-kira 5 minit selepas dibantu kakitangan perubatan.

Beliau dilihat tersenyum dan sempat melambai kepada wartawan yang membuat liputan di lobi.

Beliau bagaimanapun dibawa keluar - dipercayai untuk dibawa ke Institut Jantung Negara - kira-kira jam 11.15 pagi.

Sementara itu, ekoran kejadian tersebut, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan dapat dijalankan ke atas semua anggota parlimen.

“Saya cadangkan Parlimen buat pemeriksaan kesihatan untuk kesemua 222 anggota parlimen, sebab saya lihat rata-rata setiap anggota parlimen kerja dengan rajin sehingga terlupa menjaga kesihatan masing-masing.

“Saya harap parlimen boleh pertimbangkan,” katanya memberi cadangan tambahan apabila tiba gilirannya menyampaikan soalan lisan kepada Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad kemudian menjelaskan bahawa cadangan itu sememangnya sedang dalam pertimbangan kementerian berkenaan.

Malah katanya perbincangan telah pun dilakukan dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan.

“Kita perlu jaga kesihatan anggota-anggota parlimen kita,” katanya sebelum meneruskan sesi jawapan lisan. 

Lihat Komen