malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Johor tahan suspek pembuli jalan raya
ADS

Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes buli jalan raya membabitkan seorang pemandu wanita dalam kejadian yang berlaku di Jalan Johor Jaya Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Ismail Dollah, berkata bertindak atas maklumat, lelaki berumur 27 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di Permas Jaya untuk membantu siasatan.

"Satu laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam Jumaat lalu daripada seorang perempuan berusia 26 tahun yang membuat aduan di Balai Polis Johor Jaya.

"Dia menyatakan kira-kira 8.30 pagi - semasa memandu di Jalan Johor Jaya - keretanya dipotong sebuah kereta lain dari sebelah kiri lalu berhenti di hadapan.

"Seorang lelaki turun dari kereta tersebut dan datang ke arah mangsa lalu memarahi dan memaki mangsa selain mengambil gambar mangsa mengunakan telefon bimbitnya," katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Lelaki berkenaan kini ditahan di bawah Seksyen 506/509 Kanun keseksaan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook sebuah video berdurasi 4.28 minit memaparkan pemandu kereta mewah jenis Audi bertindak menghalang kereta seorang wanita di tengah jalan raya dan memarahi dan memaki wanita tersebut.

Turut kedengaran dalam video itu wanita berkenaan yang dipercayai sedang mengandung turut menangis kerana ketakutan.

Lelaki itu kemudiannya mengambil gambar mangsa sebelum menunjukkan isyarat lucah dan beredar.

- Bernama

Lihat Komen