malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Karmaine tak ingat apa disebut Ahmad Faizal
Diterbitkan:  Nov 10, 2019 10:41 AM
Dikemaskini: 2:41 AM
ADS

PRK TG PIAI | Calon PH, Karmaine Sardini, mendakwa dia lupa akan kata-kata yang dikeluarkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berhubung serangan terhadap DAP ketika berkempen baru-baru ini.

"Ia berlaku di jeti Jeram Batu minggu lepas. Terdapat kira-kira empat atau lima orang, saya ada di sana tetapi saya tak ingat apa yang berlaku.

"Saya tahu mengenainya tetapi saya tidak pasti apa yang dia katakan," kata Karmaine seperti dipetik portal The Malaysian Insight.

Karmaine, 66, yang kalah dalam PRU14 sebagai calon di Pontian, berkata dia tidak mendengar video penuh insiden yang mencetuskan kontroversi berkenaan.

Pada 8 Nov lalu, satu klip video tular di YouTube. Ia memperlihatkan Faizal dan Karmaine mengadakan perjumpaan dengan pengundi Tanjung Piai.

Dalam video itu Faizal menjelaskan bagaimana beliau seorang diri berdepan denngan pemimpin DAP melindungi kepentingan Melayu di Perak.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," kata individu itu kepada sekumpulan orang dalam satu pertemuan tidak rasmi.

"Saya buat itu perlahan-lahan. Tapi, Alhamdulilah... kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya," katanya dalam video berkenaan.

Faizal bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa berkata bahawa video yang disebarkan di media sosial itu diambil di luar konteks selain tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya.

Kenyataan Ahmad Faizal itu kurang disenangi ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menyifatkan Faizal tidak sepatutnya menjadi menteri besar.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut meminta Faizal memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau akan meminta Ahmad Faizal memberi penjelasan dan Ketua Pemuda parti itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas anggota parlimennya Dr Mohd Farid Mohd Rafik, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Sept lalu, tiga minggu sebelum ulangtahun ke-43.

Karmaine yang mewakili PH berdepan dengan bekas anggota parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, Wee Jeck Seng dari MCA, yang bertanding di bawah logo BN.

Calon lain ialah Badhrulhisham Abdul Aziz mewakili Berjasa, Gerakan mempertaruhkan Wendy Subramaniam dan calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen telah bermula Sabtu lalu dan pengundi Tanjung Piai akan memilih wakil rakyat baru pada 16 Nov nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen