malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tokoh pembangkang Kemboja dalam pelarian tiba di KL
Diterbitkan:  Nov 9, 2019 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM
ADS

GLOBAL | Tokoh pembangkang Kemboja dalam pelarian, Sam Rainsy dilaporkan tiba di KLIA hari ini, selepas dihalang daripada menaiki penerbangan Thai Airways dari Paris ke Thailand pada Khamis lalu.

Menurut laporan Reuters, ia selepas Sam berkata akan pulang ke Kemboja untuk menentang perdana menteri Hun Sen.

Rainsy memberitahu Reuters beliau tidak dapat menjangka bagaimana sambutan yang akan diterimanya di Malaysia.

"Tak tahu. Antara karpet merah dan gari," katanya.

Sam dan pemimpin Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) yang diharamkan yang lain sebelum ini berkata mereka mahu pulang ke Kemboja menerusi jalan darat dari Thailand.

Kerajaan Kemboja telah menahan kira-kira 50 aktivis pembangkang dalam masa beberapa minggu ini.

Menurut laporan Reuters itu lagi, jurucakap kerajaan Phay Siphan berkata Sam akan berdepan pendakwaan yang dihadapkan kepadanya sebelum ini di mahkamah jika pulang ke Kemboja.

"Jika dia datang untuk menyebabkan huru-hara dan ketidakstabilan, kami akan hancurkannya," katanya seperti dipetik.

Sam (gambar) merupakan pengasas CNRP, parti pembangkang yang hampir dalam pilihan raya umum 2013. Pada 2017, Mahkamah Agung Kemboja mengisytiharkan pembubaran parti itu.

Sam lari ke Paris empat tahun lalu selepas disabit bersalah atas tuduhan fitnah jenayah, selain dijatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk kes berbeza. Dia menyifatkan pendakwaan itu bermotif politik.

Pada 6 November lalu, Imigresen Malaysia menahan tiga lagi tokoh pembangkang Kemboja, termasuk bekas naib presiden CNRP Mu Sochua (gambar), sebaik tiba di KLIA menggunakan pasport Amerika Syarikat. Mereka dibebaskan sehari kemudian.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah sebelum ini memaklumkan kerajaan Kemboja meminta agar mereka dihantar pulang ke negara itu tetapi Malaysia ada sebab untuk tidak berbuat demikian.

"Kita memang ada terima surat daripada Kemboja, senarai nama ahli politik dari Kemboja. Mereka minta kita hantar balik ke Kemboja," katanya yang berkata permintaan itu dinilai berdasarkan kes.

Berkenaan Mu, Saifuddin berkata beliau tidak menggunakan pasport Kemboja, justeru tiada apa yang boleh dilakukan pihak di Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula berkata Malaysia akan cuba mencari negara lain yang sanggup menerima Mu.

Lihat Komen