malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video Faizal akan dibincang dalam Majlis PH - Syed Saddiq
ADS

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan isu video kontroversi berhubung kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu terhadap DAP.

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian ketika ditanya sama ada Majlis PH akan menuntut Faizal membuat permohonan maaf susulan klip video berkenaan.

"Perkara ini (video MB Perak) akan dibincangkan dan diteliti dalam majlis presiden Pakatan Harapan dan saya juga merupakan seorang ahli," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Belia 2019 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, pagi tadi.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa PH pada masa ini perlu memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil Tanjung Piai terlebih dahulu.

"Saya rasa apa yang dikatakan oleh saudara Lim Kit Siang adalah perkara yang saya setuju, bahawa kita perlu memberikan tumpuan kepada Tanjung Piai," katanya.

Sementara itu Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, dakwaan bahawa DAP merupakan parti anti-Melayu dan Islam adalah tidak benar.

"(Jika benar) Kenapa mereka (DAP) bersetuju dengan cadangan kita untuk menaikkan peruntukan untuk bantu orang Melayu miskin dari segi pendidikan institusi Bumiputera daripada RM7.6 bilion kepada RM8 bilion?

"Kenapa mereka bersetuju untuk naikkan peruntukan kepada institusi Islam? Sekarang ini RM1.2 bilion, peningkatan RM100 juta, peningkatan yang agak besar dan pada masa yang sama elaun ustaz dan ustazah dinaikkan juga," katanya.

Semalam, tersebar video rakaman percakapan Faizal yang mendakwa berseorangan dalam menentang DAP di Perak demi mempertahankan 'tanah orang Melayu' dan memperjuangkan agama Islam.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," katanya kepada sekumpulan penduduk tempatan dalam satu pertemuan tidak rasmi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai, Karmaine Sardini juga dilihat dalam rakaman video berkenaan.

Bagaimanapun Faizal kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

Lihat Komen