malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kit Siang: Tumpu PRK, cakap pasal MB Perak lepas ni
Diterbitkan:  Nov 8, 2019 11:04 PM
Dikemaskini: 3:04 PM
ADS

PRK TG PIAI | Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata beliau mahu menumpukan kepada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, di tengah-tengah kemelut dalam Pakatan Harapan (PH) berikutan kenyataan dibuat Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengenai parti itu.

"Saya rasa beliau telah menjelaskan bahawa ia diambil di luar konteks. Dalam apa jua keadaan, ini adalah satu perkara yang perlu diambilkira selepas pilihan raya kecil ini," kata Lim ketika ditemui di Kukup, Johor.

Pada masa ini katanya, paling penting bagi PH adalah memastikan kemenangan di Tanjung Piai.

"Menteri Besar itu berkata ia diambil di luar konteks. Saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku tetapi kami mengambilkira kata-katanya. Jika ada apa-apa lagi yang perlu diteruskan, ia akan berlaku selepas pilihan raya kecil ini," jelasnya.

Faizal hari ini mencetuskan kontroversi apabila rakaman video beliau mendakwa berseorangan melawan DAP tular, ketika berkempen untuk calon PH di PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Kejadian itu berlaku ketika beliau berbual dengan penduduk tempatan. 

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," katanya.

Dalam rakaman itu, Faizal juga bercakap mengenai hubungan mesranya dengan rakan-rakan dalam Umno.

Apabila ditanya sama ada kepimpinan DAP akan membincangkan perkara itu dan sama ada beliau menyokong kritikan terhadap Faizal oleh DAP Perak dan Pemuda DAP, Lim sekali lagi berkata tumpuan mestilah pada PRK Tanjung Piai.

"Ada cubaan untuk menyebabkan perpecahan PH dan saya tidak fikir mana-mana orang akan mendapat untung jika ia berlaku," katanya.

Pemimpin strategi DAP Liew Chin Tong, yang mengiringi Lim enggan mengulas mengenai isu berkenaan.

Lihat Komen