malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penyokong DAP tersepit: Tak mahu undi Bersatu, tapi tak mahu MCA menang
ADS

Analisis PRK Tg Piai l Akar umbi DAP tersepit antara dua pilihan. Di satu sisi, mereka tidak mahu berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, di satu sisi lagi, mereka mahu melihat calon lawan dari MCA kecundang pada pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor itu.

Berdasarkan maklumat dari sumber dan perwakilan parti yang dilantik, Malaysiakini difahamkan kemelut itu disebabkan beberapa kejadian membabitkan parti tersebut.

Ini termasuklah kejadian di mana dua Adunnya diheret ke mahkamah berhubung dakwaan pembabitan mereka dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Juga menjadi rasa tidak puas hati mereka, adalah kekecohan dalam kontroversi komik yang dihasilkan oleh bekas anggota partinya, Hew Kuan Yau, serta tindakan disiplin yang mungkin dikenakan terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Ronnie Liu.

Kejadian-kejadian tersebut telah menyaksikan ketegangan dalam hubungan DAP dengan rakan komponen mereka dalam PH, khususnya Bersatu.

Ini mungkin menjadi penghalang besar buat pakatan itu selaku parti pemerintah memandangkan DAP turut berperanan penting untuk membantu Bersatu mempertahankan kerusi tersebut.

Bukan hanya kerana kerusi parlimen itu mempunyai 42 peratus pengundi Cina, tetapi juga kerana parti itu memegang kerusi negeri Pekan Nenas, iaitu salah satu daripada dua kerusi DUN bawah Tanjung Piai.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), penyandang kerusi tersebut, allahyarham Dr Mohd Farid Mohd Rafik menikmati sokongan hebat daripada 80 peratus pengundi Cina. Bagaimanapun, sejak setahun kebelakangan ini, sokongan kaum Cina terhadap pakatan itu kian terhakis.

Perkembangan itu merupakan sesuatu yang membimbangkan, memandangkan tahun lalu, Farid merampas kerusi itu dari penyandang dua penggal sebelumnya, Wee Jeck Seng, hanya dengan majoriti lebih 500 undi.

Dalam PRK kali ini, Wee kembali bertanding dengan calon-calon lain, antaranya Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine, untuk menuntut semula kawasannya

 Kurang ceramah

Pada malam sebelum hari penamaan calon PRK Tg Piai minggu lalu, setiausaha agung DAP Lim Guang Eng terang-terangan membangkitkan kebimbangan pemimpin DAP terhadap kejadian-kejadian yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Ini, katanya, ditanggap banyak pihak dalam parti sebagai usaha pihak berkuasa atau “daulah terpendam” yang menyasarkan DAP untuk dihubungkaitkan dengan kumpulan pengganas yang tidak lagi berfungsi, dan dikatakan menyebar propaganda komunis.

Ketidakpuasan hati di kalangan anggota parti itu katanya turut menyebabkan kepemimpinan parti menggesa semua wakil rakyatnya untuk menunjukkan “imej bersatu” dalam PH, sekurang-kurangnya sehingga tamat PRK.

Dan nama-nama besar dalam parti nampaknya memainkan peranan mereka masing-masing untuk mencapai hal itu.

Kemunculan Lim Guan Eng, ayahnya Lim Kit Siang yang juga orang penting DAP, serta pengerusi DAP Johor yang juga timbalan menteri, Liew Chin Tong pada 2 November itu menzahirkan imej “bersatu” dalam PH.

Namun, sejak kempen bermula enam hari lalu, tidak banyak ceramah yang dianjurkan oleh DAP, sedangan ceramah dilihat sebagai strategi pilihan raya efektif yang biasa digunakan DAP dalam banyak pilihan raya sebelum ini.

Hanya Adun Pekan Nenas dari DAP, Yeo Tung Siong dan beberapa akar umbi dilihat mengiringi Karmaine dalam kempennya sejak beberapa hari lalu.

 

Kit Siang sendiri baru berucap buat pertama kali pada malam Rabu lalu, dalam ceramah di Penerok, yang merupakan kubu kuat BN yang turut dihadiri sekumpulan kecil penyokong tegar DAP. Ratusan yang hadir pada ceramah itu.

Susulan itu, beberapa pemimpin dari DAP turut diatur untuk membantu kempen dan berucap dalam ceramah untuk Karmaine. Mereka adalah menteri Yeo Bee Yin, timbalan menteri Teo Nie Ching, Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer, dan rakannya dari Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Akar umbi kecewa

Selain daripada kepempimpinan parti, pasukan kempen DAP turut berdepan kesukaran untuk memujuk ahli akar umbi untuk berkempen bagi pihak calon PH.

Sumber dalaman parti memberitahu Malaysiakini, akar umbi dari bahagian lain tidak rela berkempen untuk Karmaine kerana mereka tidak suka dengan isu komik yang LTTE yang timbul.

Namun, sebahagian sumber berkata, sebahagian daripada mereka tetap turut serta dalam kempen PH setelah mengambil kira kepentingan pakatan itu.

Seorang sumber dari DAP cawangan Kukup berkata, sebahagian ahli parti tidak sanggup melihat pengundi beralih arah kepada BN, selepas mengundi untuk pertukaran kerajaan tahun lalu.

“Ya, kami tak gembira (dengan Bersatu). Tapi PH ini satu keluarga. Adakah kita nak bercerai-berai (hanya) kerana gaduh adik-beradik?” katanya.

Sumber itu turut berasakan sekiranya BN menang dalam PRK 16 November nanti sekalipun, calonnya, Wee, sudah tidak mempunyai akses kepada dana yang banyak, dan tidak dapat memberi sumbangan yang banyak kepada kawasan, tidak seperti zaman dia menjadi wakil rakyat di bawah pemerintahan BN dahulu.

“Apa yang kami mahukan ialah “backbenchers” yang boleh memeriksa (prestasi) kerajaan. Boleh kamu lihat berapa banyak kali dia (Wee) bercakap dalam Parlimen (sebelum ini)?. Cuma ‘ya, betul’ sahaja,” katanya.

Tung Seong mengakui bahawa ahli DAP tidak berpuas hati, bukan sahaja dengan Bersatu tetapi juga dengan rakan-rakan komponen yang lain.

 

“(Mereka mempersoalkan) Kenapa tidak ada parti lain yang menyuarakan sokongan kepada kita, hanya presiden PKR Anwar Ibrahim sahaja,” katanya.

Mengakui kepentingan PRK kali ini, Tung Seong percaya kepemimpinan parti mampu memujuk ahli-ahlinya untuk turut serta dalam jentera kempen.

Baginya, kekalahan PH dalam Tanjung Piai hanya akan menguatkan lagi “daulah terpendam” yang dibangkitkan Lim, memandangkan mereka yang menentang pakatan itu akan menganggap PH hanya sebagai kerajaan sepenggal semata-mata.

“Ramai pemimpin akar umbi dengar dan faham, bahawa ini merupakan perjuangan yang penting, dan (putuskan) untuk sertai jentera kempen,” katanya.

Kini, 30 penggerak kempen dari DAP, dengan bantuan pemimpin pusat dan negeri, turun untuk bercakap dengan akar umbi.

Sokongan awam

Sementara itu, Adun Skudai dari DAP, Tan Hong Pin turut mengakui kejadian baru-baru ini turut memberi kesan kepada sentimen akar umbi.

Namun, dia tidak memandang ia sebagai sesuatu yang serius dan mendakwa akar umbi tidak terbawa-bawa dengan perkara tersebut.

“Semestinya, ia mengecewkan … Tapi kita tahu makna PRK kali ini, (dan) kami sanggup mengetepikan (ketidakpuasan hati) sehingga perjuangan ini selesai. Kemudian, baru kami akan berbincang tentangnya,” katanya.

Dia menasihatkan anggota parti untuk patuh pada garis panduan disiplin parti dan fokuskan perhatian kepada pihak “sebelah sana”, berbanding mengambil pendekatan sabotaj.

Tambah Tan, jentera kempen DAP tidak hanya bergantung pada anggota parti, tetapi juga pada sumbangan dan dana daripada orang awam.

“Ini kali pertama DAP Johor ambil bahagian (dalam pilihan raya) sebagai parti pemerintah, jadi kami kena ubah suai operasi kempen kami. Saya masih percaya bahawa penyertaan orang awam itu sangat penting, kerana tanpa (kehadiran) mereka, (kelihatan) seolah-olah kita hilang sokongan awam,” katanya lagi.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, penyertaam orang awam dalam kempen masih lagi rendah, tetapi lebih baik daripada jangkaan.

Selain perlu menghalang sokongan orang Cina terus hilang, Tan berkata PH juga perlu menarik sokongan pengundi muda Melayu bagi mempertahankan kerusi tersebut.

PRK Tanjung Piai diadakan ekoran kematian Farid, 42, pada 21 September kerana masalah jantung.

Selain Karmaine dan Wee, empat lagi calon turut bertanding dalam PRK kali ini. Pertembungan enam penjuru itu menyaksikan timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam, Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz, serta calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen