malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
SPR rekod 64 kesalahan, 9 laporan polis di Tg Piai
Diterbitkan:  Nov 8, 2019 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM
ADS

PRK TG PIAI | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 64 kesalahan yang dilakukan parti-parti bertanding pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai setakat semalam.

Menurut laporan dikeluarkan suruhanjaya itu, BN melakukan 30 kesalahan, diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak (17),  Gerakan (8) dan Berjasa (2).

Kesalahan itu membabitkan pemasangan bahan kempen di premis awam iaitu surau, perhentian bas, sekolah, tanda arah, tiang elektrik dan balai raya.

PH juga turut mencatat dua kesalahan membabitkan taklimat, syarahan atau ceramah sepanjang kempen yang bermula 2 Nov lalu.

Manakala Gerakan mencatat satu kesalahan lagi membabitkan pemasangan "billboard" di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, SPR juga mencatatkan tiga kesalahan membabitkan bahan kempen yang berunsur provokasi dan tidak mempunyai maklumat pencetak serta satu kesalahan pemasangan bendera parti yang tidak bertanding.

Kesalahan berkenaan direkodkan pegawai pemantau kempen pilihan raya dan tindalan diambil berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan.

Dalam pada itu SPR memaklumkan terdapat sembilan laporan polis telah dibuat sehingga semalam.

Laporan itu membabitkan dakwaan "billboard" milik calon parti Gerakan yang dijatuhkan dan dakwaan bendera PH telah dicabut dan dipatahkan di kawasan Kebun Baru Kukup Laut.

Satu laporan polis juga dibuat terhadap calon BN, Wee Jeck Seng berkaitan dakwaan isu pemberian tender secara rundingan langsung pelaksanaan Sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).

Laporan polis turut dibuat berkenaan penularan video ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub di SJK (C) Pei Chio Laut yang didakwa berbaur perkauman dan menyalahi undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun tiada laporan berkaitan dengan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang kempen itu serta 50 ceramah atau program telah dipantau SPR sehingga kini.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.

Ketua Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini yang dipertaruhkan PH akan dicabar Ketua MCA bahagian itu yang juga bekas anggota parlimen kawasan itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng.

Gerakan diwakili timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam dan Berjasa oleh presidennya Dr Badrulhisa, Abdul Aziz.

Dua calon bebas ialah Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

Pada PRU ke-14, Farid memenangi kerusi Parlimen itu apabila memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Lihat Komen