malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi puji Dr M tangani krisis ekonomi 97 tanpa pinjam IMF
Diterbitkan:  Nov 8, 2019 5:26 PM
Dikemaskini: 9:54 AM
ADS

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini memuji Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana kejayaannya menyelesaikan krisis ekonomi 1997 tanpa bergantung kepada pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Kejayaan Tun Mahathir menyelesaikan krisis tersebut dengan menggunakan sumber dalam negara dan kekuatan kepakaran sendiri adalah perlu dibanggakan.

"Bukan bergantung kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengundang penjajahan ekonomi, belenggu hutang dan segala akibatnya yang boleh mengundang campur tangan asing dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi berkata PAS pada ketika itu turut memberi pandangan untuk memperbaiki ekonomi negara dengan menyeru perbelanjaan berhemah, mengurangkan hutang dan menyimpan ketika kecemasan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS kini memberi perhatian kepada calon bakal perdana menteri yang akan menggantikan Dr Mahathir.

"Tun Mahathir sebagai perdana menteri yang mempunyai pengalaman memerintah, pastinya sangat mengenali calon yang layak di kalangan muridnya yang telah dilatih.

"Maka hendaklah dipilih yang berjaya dalam ujian. Jangan memilih calon yang gagal, membawa ijazah palsu atau suka meniru untuk mendapatkan jawapan," kata anggota parlimen Marang itu.

Dalam menyelesaikan krisis ekonomi 1997/98, Mahathir mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit pada kadar 3.80 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) bagi menyekat aliran keluar dana lindung nilai dari negara ini.

Langkah itu mendapat kritikan banyak pihak kecuali beberapa pakar ekonomi termasuk Stiglitz dan Paul Krugman.

Tambatan itu yang dikenakan pada 1 September 1998, telah menstabilkan ringgit yang ketika itu menjunam ekoran kesan jangkitan yang bermula dengan kemerosotan nilai baht Thailand.

Meskipun tidak menamakan mana-mana pihak, Abdul Hadi dipercayai merujuk sokongan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim terhadap pelan IMF ketika krisis ekonomi 1997.

Untuk rekod, Anwar ketika itu juga memulakan pakej penjimatan dengan memotong perbelanjaan kerajaan sehingga 18 peratus serta menyekat projek-projek mega yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Mahathir.

Pada 2009, Mahathir menerusi blognya Chedet.cc, menulis bahawa Anwar begitu taasub dengan IMF dan Bank Dunia sehingga menerima bulat-bulat nasihat pengarah urusan IMF ketika itu, Michel Camdessus dan presiden Bank Dunia, James Wolfensohn supaya Malaysia mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk mencapai surplus.

Anwar dipecat daripada kerajaan pada 1998 dan dipenjarakan sebanyak dua kali atas tuduhan rasuah dan salah laku seks.

Pada pilihan raya umum 2018, parti yang dipimpin Mahathir- Bersatu dan parti diterajui Anwar - PKR, bergabung dalam satu barisan dan berjaya menumbangkan kerajaan pimpinan Najib Razak, yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.

Konsensus juga dicapai agar Mahathir melantik Anwar sebagai penggantinya.

Menurut Abdul Hadi, krisis ekonomi pada 1997 menjadi salah satu ujian 'peperiksaan' untuk mempertahankan maruah negara dan umat.

"Oleh itu, PM sudah kenal siapa yang hendak dipilih terutamanya beliau adalah Melayu yang tidak lupa.

"Pengalaman Malaysia menangani krisis kewangan 1997 adalah ujian untuk menilai siapa yang berani mempertahankan maruah negara dan umat, berbanding mereka yang mudah menyerah kalah kepada pihak luar," katanya.

Lihat Komen