Pengiklanan

    Wanita disyaki buang janin dalam mangkuk tandas ditahan

    (Dikemaskini )

    Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya semalam kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan membuang janin bayi dalam mangkuk tandas yang ditemukan di loji rawatan kumbahan di Taman Mahkota Impian, Jalan Bukit Timbalai pada Isnin lepas.

    Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata teman lelaki wanita yang sedang menunggu ketibaannya di Lapangan Terbang Labuan ditahan pada 11.55 pagi sebaik wanita itu tiba di lapangan terbang terbabit. Kedua-dua suspek berumur 26 tahun.

    “Suspek didapati menyewa sebuah bilik di kawasan perumahan itu bersendirian selama tiga bulan,” kata Muhamad Farid dalam sidang akhbar di Labuan hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, wanita itu mengadu kepada teman lelakinya bahawa dia sakit perut pada malam kejadian.

    “Suspek wanita kemudian pergi ke tandas dan pengsan...teman lelakinya terus menghantar wanita itu ke Hospital Nukleus Labuan,” katanya.

    Muhamad Farid berkata bedah siasat yang dilakukan pakar patologi dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu lalu mendapati janin itu mengalami lebam yang mungkin disebabkan proses kelahiran.

    “Oleh kerana siasatan lanjut sedang dijalankan, kami tidak dapat menolak sama ada kejadian ini akibat perbuatan keguguran atau pengguguran,” katanya.

    Wanita terbabit yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas dan logistik ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Teman lelakinya yang merupakan penjawat awam dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama ditahan selepas disoal siasat polis, katanya.

    Dalam kejadian 4 Nov itu, kakitangan penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menjumpai janin berusia enam ke tujuh bulan di loji rawatan kumbahan itu ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada 8 pagi.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih