Pengiklanan

    Hartanah, jangan sampai rakyat merempat

    (Dikemaskini )

    ULASAN | Seperti yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal bulan yang lalu, #Belanjawan2020 terus mendapat respons pelbagai pihak. Banyak isu yang dibangkitkan dan banyak juga yang digunakan sebagai strategi politik.

    Secara umumnya, yang paling menarik perhatian adalah jumlah belanjawan yang memperuntukkan RM297 bilion (18.4 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK dan 45.1 peratus daripada cukai pendapatan) dengan sasaran kadar defisit sebanyak 3.2 peratus.

    Hal ini membuatkan ramai yang terus mempersoalkan kemampuan kerajaan dalam mengurangkan kadar hutang negara yang dinyatakan bernilai RM1 trilion (24 Mei 2018) yang merangkumi hutang kerajaan persekutuan (RM686.8 bilion), jaminan kerajaan (RM199.1 bilion) dan bayaran pajakan (RM201.4 bilion).

    Terlalu banyak yang ingin diperincikan sebelum membuat rumusan, tetapi apa yang ingin saya fokuskan ialah tentang polisi baharu kerajaan dalam menangani lambakan hartanah yang tidak bertuan.

    Dalam belanjawan, kerajaan ada mengutarakan penyelesaian untuk mengurangkan bilangan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual di kawasan bandar dengan menurunkan harga minimum untuk pemilikan warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

    Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, fokus kerajaan hanya pada 3,938 unit daripada 54,078 unit yang tidak terjual dengan bertujuan mengurangkan lambakan hartanah yang tidak dimiliki yang sekarang ini mencecah nilai AS$8.9 bilion (RM37.2 bilion).

    Bagi pihak kerajaan, langkah ini perlu bagi memastikan kelangsungan penglibatan pemaju dalam ekonomi negara dengan adanya aliran tunai (cashflow) dan meningkatkan kadar kecairan dalam industri hartanah di Malaysia.

    Pihak kerajaan juga telah mengambil beberapa langkah proaktif di dalam melaksanakan cadangan ini. Sebagai contoh tawaran ini hanya akan berlangsung selama setahun (Januari 2020 sehingga December 2020), unit yang terlibat juga hanya tertumpu kepada kawasan bandar dan unit yang sudah siap dibina.

    Bagi pihak rakyat, kami melihat kerajaan seakan-akan memberi nyawa kepada pemaju untuk terus membina hartanah mewah yang berada di luar kemampuan warganegara. Langkah ini bukan sahaja menguntungkan pemaju, malah akan terus merancakkan peningkatan harga hartanah di negara ini yang dengan jelas tidak mampu milik oleh rakyat.

    Banyak yang mengharapkan pihak kerajaan memberi tekanan kepada pihak pemaju untuk menurunkan harga hartanah kepada harga mampu milik tetapi #Belanjawan2020 menunjukkan kerajaan mengambil langkah sebaliknya.

    Selain itu pemilikan hartanah oleh warga asing bukanlah suatu pertumbuhan yang sihat kepada ekonomi rakyat setempat untuk jangka masa panjang. Dengan harga matawang negara yang makin menyusut, hartanah di Malaysia dilihat mampu milik oleh warga asing terutamanya warga Hong Kong dan China.

    Ini dibuktikan melalui laporan South China Morning Post. Akhbar itu melaporkan Malaysia adalah negara kelima paling popular untuk pembeli daripada negara China dan laporan menunjukkan nilai itu meningkat sehingga dua kali ganda untuk lima suku terakhir ini.

    Nilai hartanah warga China

    Pada 2018, nilai hartanah yang dibeli oleh warga China ialah sebanyak AS$2.3 bilion (RM9.6 bilion) dan 75 peratus daripadanya berbentuk kediaman.

    Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), melalui kaedah median multiple yang digunakan oleh kebanyakan organisasi termasuk bank dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), nilai rumah di Malaysia diklasifikasikan sebagai sangat tidak mampu milik oleh rakyat.

    Kaedah ini mengambil kira perbezaan harga rumah dan juga pendapatan isi rumah dan keputusan menjukkan peningkatan 4.8 kali ganda berbanding 3.9 kali ganda pada 2012 sedangkan nilai pekali yang menunjukkan rakyat mampu memiliki hartanah adalah pada kadar 3.0 kali ganda.

    Laporan tersebut turut menyatakan harga purata hartanah di Malaysia pada masa ini ialah RM417,262 manakala kemampuan purata rakyat hanya pada nilai RM282,000, daripada nilai ini kita mampu lihat kadar ketidakmampuan rakyat memiliki rumah di negara ini adalah di kadar yang merungsingkan.

    Dalam laporan yang berasingan pula, BNM menyatakan kadar gaji permulaan siswazah baharu menurun berbanding 2010. Berdasarkan laporan itu, kelulusan diploma menerima RM1,458 (2010) dan RM1,376 (2018), manakala pemegang ijazah sarjana muda pula RM1,993 (2010) dan RM1,983 (2018).

    Hal ini berpunca daripada peningkatan kadar pengangguran siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas yang menurut Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maslee Malik mencecah hampir 60 peratus.

    Pada umumnya berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac 2019, kadar pengangguran rakyat Malaysia kekal pada 3.3 peratus. Kedua-dua laporan ini amat berkait rapat dengan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia pada jangka masa panjang dengan harga hartanah berada melebihi daripada paras kemampuan rakyat dan pada waktu yang sama paras gaji dilihat menurun.

    Bagi pihak kerajaan, mereka tidaklah melepaskan batuk di tangga, telah banyak inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia, paling tidak memiliki satu rumah setiap keluarga. Antara inisiatif yang di ambil ialah Skim Rumah Pertamaku, Skim Jaminan Kredit Perumahan, Skim Perumahan Belia dan inisiatif baharu di perkenalkan di dalam #Belanjawan2020 ialah Skim Sewa Untuk Memiliki (rent to own).

    Tidak kurang hebatnya langkah diambil oleh setiap kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik. BNM pula mengambil inisiatif tersendiri untuk membantu B40 memiliki rumah pertama dengan memperuntukkan RM1 bilion untuk jangka masa dua tahun.

    Ekonomi gagal total

    Dengan mengambil langkah mengurangkan nilai minimum untuk pemilikan warga asing boleh diklasifikasikan sebagai jalan mudah untuk kerajaan. Apa yang lebih rakyat mahukan adalah tindakan seterusnya yang kerajaan akan ambil untuk mengurangkan jurang pendapatan dan harga hartanah di Malaysia.

    Langkah sekarang hanyalah langkah sementara untuk kerajaan melarikan diri daripada isu sebenar iaitu ketidakmampuan rakyat membeli hartanah di negara sendiri.

    Sejauh manakah perancangan kerajaan untuk memastikan “insiden” seperti ini tidak akan berlaku lagi masih menjadi tanda tanya. Jika semua rumah yang ditawarkan kepada warga asing terjual, apakah pelan seterusnya?

    Membuka lebih banyak peluang kepada warga luar untuk membeli hartanah mewah di Malaysia dan terus membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat sendiri?

    Rakyat mahukan penyelesaian jangka masa panjang yang dipelankan secara rapi oleh pihak kerajaan untuk membela dan meningkatkan mutu hidup rakyat M40 dan B40 sepertimana yang dilaungkan di jalanan dahulu.

    Ini baru sahaja dibicarakan soal hartanah, tidak termasuk lagi sistem kapitalis yang makin menguasai industri kesihatan dan pendidikan negara yang juga sebahagian daripada keperluan asas rakyat.

    Kebimbangan rakyat memang berasas, pemilikan hartanah oleh warga asing pada masa ini di kadar 0.4 peratus tetapi jika warga asing benar benar mengambil kesempatan yang diberikan oleh pihak kerajaan sepanjang 2020, kenaikan yang drastik akan berlaku dan tidak mustahil peristiwa yang menimpa ke atas rakyat Singapura sekarang akan berlaku ke atas rakyat Malaysia juga.

    Peristiwa yang dirujuk ialah rakyat merempat di negara sendiri dengan hartanah dimiliki oleh warga luar makin meningkat. Tambahan pula, jika langkah ini boleh diambil oleh pihak kerajaan buat kali pertama maka tiada jaminan yang langkah ini tidak akan diambil pada masa hadapan.

    Kerisauan tentang harga hartanah akan terus meningkat pula boleh dikatakan kurang berasas jika bersandarkan kepada Malaysian House Price Index (MHPI) 2018 yang menunjukkan harga hartanah di Malaysia sedang menurun pada kadar sederhana iaitu 1.2 peratus (high-rise homes) dan 1.8 peratus (detached homes).

    Oleh yang demikian, kebimbangan rakyat perlu diambil kira oleh kerajaan bukan sahaja tentang pemilikan hartanah oleh warga asing tetapi juga kemampuan rakyat memiliki hartanah di negara sendiri. Negara memang ingin bergerak ke hadapan untuk bersaing dengan kuasa ekonomi serantau tetapi jangan pernah meninggalkan rakyat majoriti di belakang dan hanya fokus kepada kumpulan T20 dan pelabur luar yang memberi pendapatan terbanyak kepada negara.

    Jika hal ini dibiarkan berterusan, hartanah di Malaysia akan terus di monopoli oleh golongan T20 dan juga warga asing. Yang paling menyedihkan ialah rakyat M40 dan B40 akan terus hidup menyewa di negara sendiri yang akan membawa kepada “yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin” dan secara nyata akan membuktikan pelan ekonomi kerajaan gagal secara total.

    Sebelum langkah memakan diri, adalah baik untuk kerajaan mengambil serius semua rungutan rakyat dan berjuang untuk rakyat majoriti dan bukannya minoriti dan membawa mutu hidup rakyat berjalan seiringan dengan kemajuan negara.


    AHMAD FADHLULLAH MOHAMED RAFI’E mempunyai kelulusan dalam bindang kewangan dan perakaunan dari Universiti Cardiff, United Kingdom.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih