malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suri rumah dihadapkan 6 pertuduhan hina Islam
ADS

Seorang suri rumah dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini dengan enam pertuduhan kerana memuat naik bahan berunsur menghina agama Islam.

Fadilah Hamid, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS), dituduh melakukan kesalahan melalui akaun Facebook bernama 'Fadhilah Abdulhamid' antara Februari dan Mac lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 dan dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Enam pertuduhan itu dibaca di dalam Mahkamah Sesyen yang berlainan. Tiga pertuduhan dilakukan pada 19 Feb lepas pada kira-kira pukul 11.05 malam, pada 20 Feb lepas pada kira-kira pukul 12.39 tengah hari dan pada 2 Mac lepas pukul 3.38 petang.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, OKS didakwa menggunakan akaun Facebook secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

OKS mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said di Mahkamah Sesyen 1.

Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan, OKS didakwa melakukan kesalahan yang sama pada 1 Mac lepas kira-kira pukul 10 malam, pada 19 Feb lepas kira-kira 8.52 malam dan 4 Mac kira-kira pukul 1.25 tengah hari.

OKS juga mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah di Mahkamah Sesyen 2.

Kedua-dua hakim menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Dis ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohamad Adzhar manakala OKS tidak diwakili peguam.

-Bernama

Lihat Komen