Pengiklanan

    Kes basikal lajak: Dua Wee, dua pendirian berbeza

    (Dikemaskini )

    Bulan lalu Presiden MCA Wee Ka Siong berkata keputusan mahkamah berkenaan tragedi basikal lajak di Johor perlu dihormati.

    Bagaimanapun calon BN PRK Tanjung Piai dari parti itu, Wee Jeck Seng enggan mengulas lanjut berkenaan keputusan mahkamah, dan berkata beliau menghormati pendirian Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkenaan hal itu.

    Dalam ceramah BN-PAS Rabu lalu, Zahid mempersoal keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang membebaskan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu, yang mengorbankan lapan remaja.

    Ketika ditemui di Parlimen semalam, Ka Siong berkata tertuduh berusia 24 tahun telah melalui proses mahkamah sebelum dibebaskan.

    "Jadi kita kena hormat keputusan mahkamah," katanya seperti dipetik The Star.

    Beliau berkata kes itu berbeza dengan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim, dengan kontroversinya melibatkan pendirian yang diambil peguam negara sebelum proses mahkamah.

    Sementara itu, Jeck Seng ketika ditemui di Pontian hari ini enggan mengulas perkara itu.

    Wee Jeck Seng

    "Saya rasa mereka sudah komen tentang itu. Sebagai calon, saya jangan komen lebih daripada itulah. Dia (Zahid) ada pendirian, jadi saya hormatinya," katanya kepada pemberita.

    Ditanya sekali lagi berkenaan pendiriannya untuk menghormati pandangan Zahid itu, Jeck Seng berkata: "Ya, masing-masing ada pendapat sendiri."

    Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai berpusat pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

    Selepas keputusan itu, media sosial hangat dengan dakwaan pemandu tersebut adalah orang Cina atau "bangsa DAP" dan berjaya mempengaruhi keputusan hakim.

    Dalam keputusannya bulan lalu, majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ke Ting tanpa memangilnya untuk membela diri selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

    Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata keputusan itu bersandarkan beberapa faktor, antaranya situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangka terdapat kumpulan berbasikal di jalan itu pada pukul tiga pagi.

    Siti Hajar dalam penghakimannya berkata keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.

    Beliau juga berkata siasatan mendapati Sam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon dan memakai tali pinggang keledar ketika memandu, dan itu membuktikan dia memandu secara bertanggungjawab dan berhati-hati.

    Semalam Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata kenyataan Zahid bersifat semberono dan menggesa presiden Umno itu didakwa menghina mahkamah.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih