malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas 7 hari baru Faridah ‘muncul’ di Tg Piai
ADS

Selepas tujuh hari berlangsung penamaan calon di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Faridah Aryani Abdul Ghaffar baru mula berkempen.

Tambahnya, ini atas kekangan dana yang dihadapi pihaknya namun dia mengambil perkara tersebut secara positif.

“Memandangkan satu isu, kita kurang dari segi kewangan tiada dana besar.

“Kita positif walaupun tiada dana kita anggap sebagai strategi untuk berkempen minggu terakhir,” katanya pada sidang media pertama calon tersebut di Serkat, Johor hari ini.

Jelasnya, dia akan mengunakan tujuh hari terakhir untuk berkempen habis-habisan di Tanjung Piai.

“Kita akan kempen habis-habisan, akan turun padang untuk ziarah 27 PDM (pusat daerah mengundi) bermula hari ini.

“Jentera kami juga sudah mula siap sedia untuk menyusun jadual,” katanya yang merupakan anak jati Johor.

Faridah merupakan calon pengganti saat akhir yang mewakili kumpulan teksi, Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM).

Dia menggantikan pengasas Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Sementara itu, Faridah memaklumkan dia bertanding bagi memperjuangkan nasib golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kita cuba kupas, yakinkan yang tujuan kita penambahbaikan ekonomi dan pendapatan mereka (B40).

“Kita cuba cari jalan tambah baik kualilit hidup mereka,” katanya yang menggunakan logo kereta.

Faridah yang juga merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak berkata tidak meletakkan sasaran pengundi namun berharap tidak hilang wang deposit.

“Saya tak nak hilang deposit saya. Insha-Allah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan seseorang yang ingin bertanding dalam pilihan raya parlimen dikehendaki mengemukan wang deposit RM10,000.

Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru. Selain Faridah, calon lain ialah Karmaine Sardini dari Bersatu yang dipertaruhkan PH, BN yang diwakili Wee Jeck Seng dari Bersatu, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan calon bebas, Ang Chuan Lock.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 16 November manakala hari pengundian awal pada 12 November.

Turut hadir, Shamsubahrin dan jentera calon bebas tersebut.

Lihat Komen