Pengiklanan

    Menteri: Subsidi petrol bersasar bagi elak ketirisan

    (Dikemaskini )

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa program subsidi petrol bersasar yang bakal diperkenalkan tahun depan adalah mengelakkan ketirisan dengan menyelamatkan peruntukkan subsidi pengangkutan.

    "Program subsidi petrol bersasar yang dibangunkan oleh kementerian berdasarkan prinsip pengagihan semula yang saksama.

    "Program subsidi petrol bersasar mengelakkan ketirisan dengan menyelamatkan peruntukkan subsidi pengangkutan daripada diberi kepada penyeludup petrol, warga asing dan golongan T20 yang menggunakan kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin serta tangki minyak yang besar," katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Terdahulu, KPDNHEP menyambut baik pemerhatian Dr Muhammed Abdul Khalid, penasihat ekonomi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, bahawa program subsidi petrol sebelum ini tidak memanfaatkan semua golongan dalam kumpulan B40 kerana lebih daripada satu pertiga daripada isi rumah B40 tidak memiliki kenderaan.

    "Saya juga bersetuju dengan pandangan Dr Muhammed bahawa pengangkutan awam di kawasan luar bandar harus diberi lebih perhatian.

    "Saya harap sebahagian penjimatan daripada program subsidi petrol boleh digunakan bagi menambahbaik serta menyediakan pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar supaya semua lapisan masyarakat dapat meraih manfaat daripada subsidi pengangkutan kerajaan," tambah beliau.

    Pada 7 Oktober, Saifuddin mengumumkan bahawa Program subisidi petrol (PSP) yang dilaksanakan mulai 1 Jan 2020 bakal meringankan beban kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan di Semenanjung Malaysia.

    Subsidi RM30 sebulan akan diberi kepada pemilik kereta 1600cc dan ke bawah dan bagi kereta melebihi 1600cc, ia berumur 10 tahun dan ke atas manakala RM12 sebulan bagi pemilik motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berumur tujuh tahun dan ke atas. Ia akan diberi secara tunai dan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.

    RON95 akan diapungkan di Semenanjung Malaysia bagi bukan penerima BSH di Semenanjung Malaysia dan harga kekal pada RM2.08 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    "Seperti yang sedia maklum, peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial dalam Belanjawan 2020 telah ditingkatkan daripada RM22.3 bilion untuk tahun 2019 kepada RM24.2 bilion.

    "Ini termasuk penambahan kepada bantuan kebajikan seperti peningkatan elaun kepada anggota bomba, anggota RELA, guru KAFA, pelatih TVET serta suntikan vaksin pneumokokal secara percuma yang sebelum ini hanya mampu untuk dibeli oleh golongan berada," ujarnya.

    "Pada masa yang sama, penerima subsidi petrol daripada golongan B40 dan M40 sedia ada terus dilindungi melalui pemberian subsidi petrol kepada mereka menggunakan kaedah yang lebih bersasar," jelas beliau.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih