malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda MIC anggap alasan Plus tak munasabah
ADS

Plus Malaysia Berhad (Plus) digesa mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum menutup perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go (TnG) di laluan keluar lebuh raya seliaannya Selasa depan.

Ketua Pemuda MIC Negeri Sembilan, Ramis Balakrishnan, berkata keputusan Plus itu lebih banyak menyusahkan pengguna berbanding menyelesaikan masalah didakwa mereka.

"Alasan Plus adalah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas tetapi ia tidak munasabah. Kalau betul berlaku kesesakan bukalah lorong khas untuk tambah nilai.

"Dianggarkan seluruh negara terdapat lebih 90 laluan keluar.

"Dengan adanya perkhidmatan tambah nilai TnG, secara tidak langsung ianya akan memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 200 orang," katanya kepada pemberita di plaza Tol Seremban, semalam.

Sebelum itu Pemuda MIC mengadakan demonstrasi aman di laluan keluar tol Seremban arah selatan sebagai tanda bantahan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang juga merupakan ahli parlimen kawasan itu.

Mereka turut menyerahkan memorandum kepada Plus yang menyeru syarikat terbabit serta kerajaan terlibat mengkaji semula keputusan yang diambil.

"Pihak Plus perlu menjawab bagaimana pengguna boleh melalui laluan mereka pada waktu malam sekiranya kad TnG mereka tak cukup nilai sepatutnya. Mereka umpama pengemis di plaza tol.

"Perkhidmatan e-wallet hanya boleh diguna pakai di Lembah Klang sahaja. Sebalik keluar dari Lembah Klang perkhidmatan itu tak boleh dipakai. Dan kebanyakan stesen minyak tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai TnG selepas waktu tengah malam," katanya.

Selain itu, kata Ramis, tiada pusat tambah nilai mahupun hentian dari tol Seremban ke tol Senawang.

Keadaan itu, katanya, menyukarkan pengguna veteran, ibu mengandung atau pemandu yang kurang sihat kerana mereka perlu berhenti dan membuat tambah nilai di kawasan rehat dan rawat yang agak jauh dari parkir, seperti di Pagoh dan Machap.

Plus menamatkan khidmat tambah nilai TnG mulai 5 Nov bagi mengurangkan kesesakan ekoran aktiviti tambah nilai di semua plaza tol di antara Hutan Kampung dan Ipoh Utara, serta antara Seremban dan Skudai.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, berkata Plus perlu mengambil kira pandangan pengguna yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Lihat Komen