malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, semalam mendakwa kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengamalkan politik membuli selepas diarahkan menghentikan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di separuh jalan.

Chong menyampaikan ucapan itu di sidang Dewan Undangan Negeri semalam dan diarah berhenti kerana didakwa membuat kenyataan keterlaluan dan provokatif.

Bercakap kepada wartawan di luar dewan, Chong yang juga ketua pembangkang berkata, tindakan Speaker DUN Sarawak, Asfia Awang Nasar, jelas melanggar peraturan mesyuarat.

“Daripada mengawal ahli-ahli dewan GPS, speaker mengarahkan saya berhenti separuh jalan. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan jelas sekali melanggar peraturan dewan.

“Saya sedih sekali speaker merendahkan dirinya sebagai alat politik pembuli. Sebagai speaker, beliau sepatutnya tidak memihak, mengawal ahli lain untuk diam, dan bukannya menjerit,” kata Chong.

Semasa membuat perintah tersebut, speaker menggunakan Peraturan Dewan 62(11) yang memberikan beliau kuasa untuk tidak membenarkan Adun Kota Sentosa itu meneruskan perbahasannya berkaitan Undang-Undang Perbekalan Negeri 2020.

Terdahulu dalam ucapannya, Chong menyifatkan belanjawan negeri sebagai tidak realistik kerana menjanjikan perbelanjaan pembangunan RM16.5 billion, tetapi hanya meminta dewan meluluskan hanya RM6.5 billion untuk tahun hadapan.

Katanya, ketua menteri perlu menjelaskan perkara yang dibangkitkannya itu.

Chong juga menafikan membuat kenyataan yang melampau mengenai belanjawan seperti dituduh speaker sebaliknya menyatakan terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada apa yang dikatakannya itu sebagai realistik atau tidak.

- Bernama

Lihat Komen