malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lawan jerit di Tg Piai: Matanglah, kata pengerusi SPR
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 11:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM
ADS

PRK TG PIAI | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun meminta ahli-ahli politik yang mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai agar mempamerkan kematangan dalam berpolitik.

Kenyataan itu hadir selepas jurukempen dari Pakatan Harapan (PH) dan BN saling berbalas teriakan antara satu sama lain di hadapan pasar malam di Kukup hari ini.

Apabila Malaysiakini tiba di lokasi, kenderaan pacuan empat roda milik kedua-dua parti diparkir hadapan pintu masuk menuju ke tapak pasar malam berkenaan.

Kedua-dua pihak yang berkempen menggunakan pembesar suara dalam usaha menenggelamkan suara pihak lawan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Pasir Gudang Madyasir Ahmad Basir memberitahu pemberita bahawa kenderaan milik MCA tiba terlebih dahulu, diikuti kira-kira 10 aktivis PH dan kira-kira 50 penyokong BN tidak lama kemudian.

Antara lain, Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang merupakan antara jurukempen BN di situ, mengusik Pemuda Bersatu dengan menggelar mereka sebagai 'Armanja' dan bukannya 'Armada'.

Seorang jurukempen BN yang tidak dikenali berkata mereka mahu 'menyelamatkan' calon PH Karmaine Sardini - yang pernah berkhidmat sebagai imam - daripada mewakili kerajaan yang jahat.

Sukar didengar butir percakapan daripada kedua-dua pihak, namun penyokong BN dilihat menyerang melalui ucapan manakala jurukempen PH pula mengejek agar mereka beredar.

Pada satu ketika, seorang wanita yang membonceng motosikal dilihat menutup telinganya apabila melalui kedua-dua kumpulan berkenaan.

'Perang suara' itu berlangsung kira-kira 20 minit sebelum kenderaan terbabit meninggalkan tempat kejadian, kecuali Wan Muhammad Azri, Madyasir dan seorang yang lain.

Sebuah trak milik PH yang lain kemudian dipandu ke arah mereka. 

Di sebelah tempat duduk penumpang hadapan ialah ahli Bersatu dari Pasir Gudang, Wan Hazan Hasbullah.

Tetapi berbeza sekali daripada keadaan sebelumnya, Wan Hazan menurunkan tingkap dan dengan mesra berjabat tangan dengan penyokong BN berkenaan sebelum bergambar bersama.

Semua yang berada di situ kemudian dilihat beredar.

Kedua-dua pihak berkata mereka mempunyai permit untuk berada di tapak pasar malam berkenaan.

Ketika dihubungi, Azhar berkata SPR berharap parti-parti politik dan calon-calon bekerjasama dan mengawal penyokong mereka supaya tidak melakukan provokasi.

"Tunjukkanlah kematangan politik dan jangan mengganggu ketenteraman awam ataupun berkempen di dalam cara yang boleh menimbulkan huru hara ataupun menggugat keharmonian," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen