Pengiklanan

    Bimbing, bukan hukum remaja basikal lajak - Syed Saddiq

    (Dikemaskini )

    Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menegaskan langkah diambil kementeriannya dalam menangani isu basikal lajak bertujuan membantu golongan remaja yang terjebak dengan masalah itu.

    "Saya dikutuk kerana mengambil pendirian untuk membimbing dan bukan menghukum.

    "Dari terus menghina mereka, saya pilih untuk melatih mereka dengan pendidikan TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional)..

    "Segelintir dari kita suka menghukum dan gagal untuk membimbing. Mereka perlukan bantuan kita semua. Mereka ini adalah tanggungjawab kita bersama," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Langkah mendekati komuniti remaja yang terlibat dengan aktiviti basikal lajak juga katanya akan terus dilakukan bagi memastikan golongan ini mampu berjaya dalam kehidupan.

    Antara program yang akan dijalankan bagi tujuan tersebut adalah melatih remaja dengan pendidikan TVET serta memasukkan mereka ke dalam Program Pembangunan Berbasikal Negara.

    Perbincangan mengenai aktiviti basikal lajak kembali menjadi tumpuan selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Okt lalu membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lepas.

    Terdahulu,  Syed Saddiq ketika ditanya pemberita di Dewan Rakyat mengenai pembinaan litar khusus bagi penunggang basikal lajak berkata kementeriannya sudah pun menjalankan pelbagai bengkel melibatkan aktiviti itu.

    "Tetapi jika kita hanya membina litar tanpa mendapatkan kepakaran yang betul untuk membimbing mereka, ia akan menjadi isu.

    "Kerana jika anda melihat modifikasi yang dilakukan ke atas basikal (lajak), ia sangat tidak selamat kerana tidak mempunyai brek," katanya.

    Beliau pada masa sama menjelaskan pihaknya masih mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan mereka dapat menangani minat mendalam yang dipamerkan golongan remaja ini dengan cara yang betul.

    "Perkara terakhir yang kita mahu lakukan adalah meminggirkan mereka, kerana mereka masih akan melakukannya (aktiviti basikal lajak) dan boleh kehilangan nyawa," katanya. 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih