Pengiklanan

    Soalan buat Wee: Belanjawan 2020 pro-Melayu atau Cina?

    (Dikemaskini )

    KATA MP | Adakah Wee Jeck Seng setuju dengan pendirian Umno yang melihat peruntukan pendidikan dari sudut perkauman?

    Saya langsung tidak hairan sekiranya pemimpin BN melihat isu-isu negara melalui kaca mata perkauman. Saya hanya minta agar kedua-dua parti komponen BN - iaitu Umno dan MCA - berbincanglah terlebih dahulu sebelum mengkritik belanjawan berasas retorik perkauman.

    Semalam, Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah, membangkitkan isu peruntukan pendidikan dalam perbahasan Belanjawan 2020 peringkat jawatankuasa.

    Beliau berkata, sekolah venakular - Sekolah Jenis Kebangsaan (C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) - menerima peruntukan lebih banyak berbanding jumlah peruntukan setiap sekolah.

    Justeru, beliau berkata, itu adalah dasar yang tidak adil.

    Ini bukan kali pertama ahli parlimen Umno melihat peruntukan pendidikan untuk tahun depan menggunakan lensa perkauman.

    Pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2020, ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob pun telah menggunakan retorik sama dengan ahli parlimen Jasin itu.

    PH berat ke arah mana

    Menurut retorik perkauman Umno, peruntukan itu berat sebelah kerana berpihak kepada komuniti bukan Melayu, apabila setiap sekolah SJKC dan SJKT menerima lebih banyak peruntukan berbanding sekolah kebangsaan.

    Malah, mereka membangkitkan isu peruntukan diberikan kepada sekolah menengah persendirian Cina.

    Sebaliknya, pemimpin MCA menghentam Belanjawan 2020 kerana dikatakan tidak mengambil berat pendidikan bagi komuniti Cina. Senator MCA, Ong Chong Swen, mengkritik kerajaan PH kerana menyediakan peruntukan sebanyak RM6.23 bilion kepada institusi pendidikan bumiputera seperti Mara dan sebagainya.

    Mengikut pandangan Ong, kerajaan PH tidak adil kerana lebih berpihak kepada institusi pendidikan bumiputera berbanding kerajaan BN.

    Ong Chong Swen

    Malah, beliau menyatakan jumlah peruntukan pendidikan bagi komuniti Cina bagi 2020 menurun RM2.5 juta berbanding 2019. Senator MCA itu memuat naik tiga gambar pada 12 Okt dan menghentam habis-habisan Belanjawan 2020.

    Soalan di sini adalah jelas: adakah PH berat sebelah kerana memberi kelebihan kepada komuniti Melayu-bumiputera seperti retorik MCA, atau sebaliknya kerajaan pusat tidak adil kerana memihak komuniti bukan Melayu berdasarkan hujah retorik Umno?


    Baca Jeck Seng anggap dakwaan DAP fitnah


    Kedua-dua analisis - dengan setiap satu hanya melihat kepada sebahagian fakta - membukti bahawa Belanjawan 2020 menjaga semua komuniti.

    Namun Umno dan MCA asyik memainkan sentimen perkauman serta memberi gambaran tidak penuh sambil mengelirukan rakyat kerana mereka langsung tiada modal politik lagi.

    Biar saya bertanya kepada calon MCA di Tanjung Piai: adakah beliau menyokong pandangan pemimpin partinya, ataupun pendapat pemimpin Umno dalam isu peruntukan pendidikan?

    Adakah Wee setuju dengan pendirian Umno bahawa komuniti bukan Melayu lebih beruntung dalam peruntukan pendidikan di bawah kerajaan PH?


    WONG SHU QI ialah anggota parlimen Kluang.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih