malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LTTE: AG jelaskan sebab 2 pertuduhan baru pada Adun DAP dibatal
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 4:15 PM
Dikemaskini: 8:30 AM
ADS

Peguam Negara (AG) Tommy Thomas menjelaskan keputusan pendakwaan menggugurkan dua pertuduhan tambahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap adun DAP.

Menurutnya, Adun Seremban Jaya P Gunasekaran sudah pun berdepan pertuduhan yang serupa, yang jika disabit bersalah boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

"Jadi tiada keperluan untuk berlebih-lebihan. Maka dakwaan bahawa semua pertuduhan terhadap Gunasekaran digugurkan adalah satu pembohongan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Bagaimanapun tiada yang menghalang kita untuk mendakwanya lagi pada masa akan datang," katanya lagi.

Thomas mengambil makluma Gunasekaran adalah seorang daripada 12 tertuduh yang didakwa di mahkamah sesyen seluruh negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa terlibat dalam usaha menghidupkan semula LTTE.

"Gunasekaran didakwa di mahkamah sesyen di Ayer Keroh, Melaka dan Kuala Lumpur.

"Semalam, dua lagi pertuduhan tambahan patut dikenakan terhadapnya, mengikut peruntukan Sosma, di Mahkamah Sesyen Seremban.

"Tapi kita tidak teruskan kerana dia sudah berdepan pertuduhan (yang sama)," katanya.

Semalam hakim Mahkamah Sesyen Madihah Harullah membenarkan permohonan pembatalan oleh Aslinda Ahad. Pihak pendakwaan sebelum itu membuat e-filing untuk dua pertuduhan baru itu.

P Gunasekaran

Menurut pertuduhan tersebut, Gunasekaran didakwa memiliki item berkaitan dengan LTTE di pejabat dan kediamannya di Seremban masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun dia akan kekal ditahan kerana tidak dibenarkan ikat jamin untuk pendakwaan terdahulu.

Susulan perkembangan itu, beberapa pemimpin Umno mempersoal sama ada pemimpin DAP mendapat layanan berbeza berbanding pihak lain yang ditahan atas tuduhan berkaitan keganasan.

Kenapa AG bertindak 'double standard' kepada mereka yang disyaki dalam kes LTTE yang melibatkan pendakwaan Sosma, berbanding mereka yang ditangkap, didakwa dan dihukum sebelum ini yang melibatkan tuduhan kesalahan yang lebih kecil?

Apakah kerana mereka yang ditahan kali ini merupakan pemimpin dan pengikut DAP?" soal Zahid di Facebook.

Selain Gunasekaran, seorang lagi adun DAP yang didakwa berhubung kes LTTE ialah G Saminathan.

 

Lihat Komen