malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat bincang nasib nelayan Tanjung Piai hari ini
Diterbitkan:  Nov 7, 2019 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM
ADS

PARLIMEN l Nasib nelayan di kawasan Tanjung Piai, Johor merupakan antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-20, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) dijadual mengemukakan soalan mengenai usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam memastikan kelompok nelayan di kawasan Tanjung Piai tidak 'pupus' ekoran kawasan tangkapan ikan yang semakin mengecil akibat projek pembangunan sekitar seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Turut dijangka menarik perhatian, soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahu Menteri Pendidikan menjelaskan jumlah peruntukan sepanjang 2019 kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Persendirian dan Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Selain itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula bertanyakan Perdana Menteri mengenai status penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan ‘Freedom of Information’ yang akan menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972 serta bilakah kerajaan bercadang membuat konsultasi awam berkenaan RUU itu.

Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sesi perbahasan RUU Perbekalan 2020 di peringkat jawatankuasa yang memasuki hari ketiga melibatkan perbahasan bagi Kementerian Luar.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis ini.

- Bernama

Lihat Komen