malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid bangkitkan isu pembebasan tertuduh kes basikal lajak
ADS

PRK TG PIAI | Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pentadbiran kerajaan PH dan Peguam Negara, Tommy Thomas, bertindak menyalahgunakan undang-undang sedia ada.

Berucap dalam ceramah di Tanjung Piai malam tadi, Ahmad Zahid mempersoalkan tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017 lalu.

"Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti.

"Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana BN di Kampung Rimba Terjun sempena PRK Tanjung Piai, Johor.

Seorang hadirin kemudian melaungkan agar jurujual itu dikenakan hukuman gantung.

Turut hadir sama tu adalah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, anggota Parlimen Sembrong, Hishamuddin Hussein, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan dan Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad.

Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara jelas mengenai pemandu wanita tersebut, namun kritikan mengenai keputusan mahkamah itu dipercayai berpusat pada latar belakang tertuduh yang berbangsa Cina.

Selepas keputusan itu, media sosial hangat dengan dakwaan pemandu tersebut adalah orang Cina atau "bangsa DAP" dan berjaya mempengaruhi keputusan hakim.

Kes lain turut disebut

Terdahulu, Mahkamah Majistret di Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ke Ting daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan.

Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata mahkamah mengambil kira beberapa faktor iaitu jalan yang gelap, berbukit dan berliku menyebabkan pemandu tidak dapat meramalkan bahawa akan ada kumpulan kanak-kanak di jalan raya pada jam 3 pagi.

Majistret menambah bahawa kumpulan berbasikal itu meletakkan diri mereka dalam bahaya.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Johor pada masa yang sama berkata kejadian itu seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak dan tidak membenarkan mereka bermain di kawasan berbahaya.

Tunku Idris Sultan Ibrahim juga mengkritik cubaan untuk mempromosikan kebencian dan perkauman ekoran kejadian itu. 

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri mengambil contoh kes lain yang didakwanya turut berlaku ketidakadilan.

Salah satunya, kata beliau, adalah pembebasan suspek dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ahmad Zahid mendakwa mereka dibebaskan hanya kerana mempunyai "peguam hak asasi manusia".

Polis bekerja keras

Untuk rekod polis mengatakan bahawa empat suspek yang ditahan pada Disember lalu dibebaskan kerana tidak ada petunjuk yang jelas bahawa mereka dapat dikaitkan dengan kematian Adib.

Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini memutuskan kematian Adib berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali, ketika rusuhan di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya pada Nov lalu.

Ahmad Zahid mendakwa undang-undang yang ada kini seolah-olah bersifat 'double standard' dan hanya bertindak untuk mempertahankan PH sahaja.

"Undang-undang seolah-olah dibuat untuk pertahankan mereka sahaja. Undang-undang berat sebelah, undang-undang yang hanya digunakan untuk kenakan yang atas sahaja, yang dianggap musuh politik seperti saya," katanya.

Ahmad Zahid kini berdepan 54 tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.

Selain salah guna undang-undang, bekas menteri dalam negeri itu juga mendakwa PH telah merendahkan kemampuan polis.

Ini berikutan tindakan mahkamah menggugurkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas, LTTE, ke atas Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Kata Ahmad Zahid daripada pengalaman sebelum ini sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara beliau yakin pihak berkuasa polis akan bekerja keras untuk menangkap 11 individu terbabit yang didakwa mempunyai hubungan LTTE.

Oleh itu, beliau berkata adalah malang apabila Thomas memutuskan untuk "melepaskan mereka".

“Apabila tangkapan dibuat di bawah Sosma, peguam negara membebaskan mereka ini.

“Jangan rendah-rendahkan kebolehan dan kemampuan polis sebab mereka menjaga semua agama dan rakyat tanpa mengira parti politik demi keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menggesa rakyat Tanjung Piai mengundi BN untuk menunjukkan sokongan kepada polis.

Semalam, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman beliau.

Lihat Komen