Pengiklanan

    Walau gagal SPM gadis ini pernah jadi penterjemah BlackPink

    (Dikemaskini )

    Keputusan kurang memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menjadi penghalang bagi Siti Aishah Nor Azham untuk berjaya seperti orang lain.

    Berbekal keazaman tinggi, gadis berusia 23 tahun ini kini mampu menjana pendapatan sendiri daripada kerjaya sebagai seorang penterjemah bahasa Korea hasil kegigihannya mempelajari bahasa berkenaan.

    Malah kegagalan untuk menempatkan diri ke universiti akibat ketinggalan dalam pelajaran menjadikan semangatnya bertambah kuat untuk berdikari seterusnya menjana pendapatan sendiri.

    "Selepas SPM, permohonan saya ditolak oleh universiti. Mungkin kerana pada waktu sekolah saya sering diserang acute migraine sejak berumur 10 tahun.

    "Jadi selalu ketinggalan dalam pelajaran dan bagi saya memang susah untuk catch up,” kata Shah yang berasal dari Subang Jaya itu.

    Sejurus selepas mengetahui keputusan permohonannya ke universiti ditolak, Shah mempelajari bahasa Korea melalui buku dan melayari Internet.

    Menurut Shah, minat itu didorong fenomena K-Pop dan drama Korea yang hebat melanda negara pada masa itu.

    “Masa itu K-Pop dan Kdrama memang tengah naik jadi saya pun kata ok apa kata saya belajar bahasa Korea dan cuba masuk pasaran sana. Selepas 6 bulan, saya tekad untuk ke Korea untuk luaskan lagi pengetahuan budaya dan bahasa di sana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Pengalaman di Korea

    Selepas enam bulan belajar secara sendirian, beliau nekad meluaskan pengalamannya ke negara itu dalam mempelajari bahasa Korea menggunakan duit simpanan sendiri.

    “Pada ketika itu, saya sudah mempelajari Bahasa Korea selama enam bulan dan saya rasa saya perlu cabarkan diri saya terlebih dahulu untuk meluaskan pengalaman. Jadi, saya gunakan duit simpanan terakhir saya iaitu RM700 dan saya pindah ke Seoul.”

    “Saya tinggal di bilik asrama yang paling murah dan tinggal bersama 16 penghuni di situ. Saya hanya makan sebuku roti di sana pada waktu makan,” katanya menerusi laman Twitter.

    Menerusi laman Twitter tersebut, beliau mendapat reaksi yang positif daripada netizen.

    “Kisah kau ini membuatkan aku semangat untuk terus berjaya dan tidak menyesal dengan kegagalan dahulu," kata Zafran Zainol, salah seorang netizen yang memberikan komen di Twitter.

    Selama 14 bulan belajar bahasa dan budaya Korea, Shah mendapat tawaran di Malaysia untuk bekerja sebagai penterjemah Bahasa Korea. 

    Sejurus selepas menerima tawaran tersebut, beliau mendapat lebih banyak tawaran di negara ini.

    “Ada satu hari itu kawan Korea saya yang tinggal di Malaysia ada hubungi saya, kata ada event organizer yang cari concert interpreter yang boleh berbahasa Korea, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jadi saya ambil cabaran itu dan pulang ke Malaysia.

    Dari situ bermulalah banyak organizer lain panggil saya untuk bekerja di konsert dan event Korea,” kata Shah yang kini tinggal di Damansara.

    Penterjemah di konsert BlackPink

    Pengalaman yang tidak dapat dilupakan Shah adalah ketika bertugas di konsert BlackPink pada 23 dan 24 Februari lalu yang dihadiri 14,000 peminat band berkenaan.

    “Semasa saya bekerja untuk konsert BlackPink, memang ia satu cabaran yang baru kerana saiz konsertnya lebih besar berbanding konsert-konsert yang lain.”

    “Peralatan dan konsol semua dibawa dari Korea jadi memang susah untuk pekerja tempatan tetapi mereka sangat profesional. Jadi saya dapat belajar dengan cepat cara-cara orang Korea uruskan pekerjaan mereka," ulasnya.

    Dalam pada itu, dia juga kata ahli kumpulan BlackPink sangat profesional dari segi masa, latihan dan pemeriksaan audio.

    Walaupun mencipta kejayaan tanpa memasuki IPT, beliau berharap ramai golongan muda meneruskan peluang yang mereka perolehi.

    “Saya boleh tinggalkan semuanya sebelum ini kerana saya tiada apa pun dari permulaan. Tapi jika anda ada peluang untuk belajar, ada akses kepada bidang pekerjaan, teruskan.”

    “Bahagikan masa untuk masih belajar dan buat sesuatu yang dapat menggembirakan diri sendiri,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih