malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Janin bayi tak bernyawa ditemui di tandas pasar raya
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM
ADS

Satu janin bayi ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di tandas wanita sebuah pasar raya di Port Dickson, Negeri Sembilan tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata janin itu ditemui pada pukul 12 tengah hari selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan berkenaan.

"Ekoran itu, pihak polis telah pergi ke lokasi kejadian bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan tandas pekerja, yang terletak bersebelahan pejabat pasar raya itu, di dalam bangunan yang sama.

"Pemeriksaan ke atas janin yang ditemui itu dianggarkan berusia lima hingga enam bulan. Walau bagaimanapun bangsa dan jantina janin, tidak dapat dipastikan," katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata janin berkenaan telah dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut dan pihaknya sedang berusaha untuk mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Aidi Sham meminta sekiranya ada pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan, boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-4220322.

- Bernama

Lihat Komen