Pengiklanan

    Transit pengganas: KDN sedia kaji kenakan Visa

    (Dikemaskini )
    Shakira Buang  |  Berita

    Kementerian Dalam Negeri memandang serius laporan Keganasan Negara Amerika Syarikat (AS) 2018 yang menyatakan Malaysia menjadi "sumber dan titik transit" bagi kumpulan pengganas.

    Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata apa yang dinyatakan itu merupakan satu kenyataan yang berat dan tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi ia datang dari Amerika Syarikat.

    “Saya harap rakyat Malaysia faham keadaan sekarang. Dulu lain, sekarang mungkin orang gunakan Malaysia sebagai transit, kembangkan ideologi atau gunakan agama (untuk keganasan) seperti DAESH.

    “Itu bukti memang ada tahap yang bahaya (di Malaysia),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

    Sebelum ini, Laporan Keganasan Negara AS 2018 menyatakan walaupun tiada serangan, negara ini menjadi sumber, transit dan destinasi kumpulan pengganas termasuk IS, Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh mengakui dasar sedia ada yang tidak mengenakan visa kepada majoriti negara dunia, memudahkan warga asing, termasuk pengganas keluar dan masuk ke negara ini.

    Tambah Muhyiddin, kerajaan akan mengkaji untuk mengetatkan dasar imigresen berhubung kemasukan warga asing ke negara ini, bagi mengekang strategi pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit mereka.

    “Ketika ini, kebanyakan warga asing nak masuk Malaysia hanya perlukan pasport dan jika pasport itu tak dianggap sebagai datang dari negara bermasalah, maka mereka boleh masuk secara mudah.

    “Kita hanya kenakan visa atas sebab tertentu, itu peraturan yang kita ada. Apapun, kita perlu kaji daripada segi dasar imigresen ini,” katanya.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay ketika menghadiri International Conference on Financial Crime and Financing 2019 (IFCTF 2019) di Kuala Lumpur semalam berkata Malaysia masih menjadi negara transit bagi kumpulan pengganas dari Timur Tengah dan Afrika.

    Kata Ayob, kumpulan pengganas berkenaan memilih Malaysia kerana mereka boleh masuk negara ini tanpa visa.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih