malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Melawan rasisme dengan kartun, Zunar terbitkan buku baru
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 1:46 PM
Dikemaskini: 5:54 AM
ADS

Racisme adalah perosak minda dan adalah batu penghalang kepada kemajuan negara, kata kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.

Lebih dikenali sebagai Zunar, beliau berharap dapat membawa mesej ini kepada rakyat negara ini melalui buku terbarunya bertajuk "Kartun Anti Rasicm".

Mengumumkan penerbitan buku itu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, katanya ia mengandungi 48 lukisan kartun.

“Buku ini diterbitkan di saat api perbezaan dan ketegangan kaum semakin buruk dikobarkan dari hari ke hari oleh kumpulan dan parti-parti politik tertentu.

“Ia menjadi semakin buruk apabila pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan juga turut terlibat dalam politik negatif ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zunar berkata kartunnya juga menyerlahkan bahawa Islam melarang perkauman.

“Tuhan menjadikan kita berbagai bangsa dan warna kulit bukan untuk saling membenci tetapi untuk saling mengenali dan menghormati.

“Untuk dilahirkan sebagai apa juga bangsa bukanlah pilihan manusia, tetapi ia adalah ketetapan Tuhan. Kerana itu, manusia tidak punya hak untuk bersifat rasis,” katanya.

Selain itu, Zunar berkata buku yang berharga RM30 senashkah itu, juga mendedahkan bagaimana polarisasi kaum menyebabkan keadilan sosial menjadi tidak seimbang.

“Diskriminasi masih berleluasa sedangkan semua warga negara sepatutnya mendapat hak yang sama tanpa mengira kaum dan agama.

“Kartun-kartun dalam buku ini disadur dengan pendirian bahawa sistem pendidikan adalah salah satu punca kenapa negara kita menjadi semakin rasis. Sebagai solusi, sistem pendidikan perlu segera diubah seluruhnya kepada sebuah sistem yang mementingkan meritokrasi tanpa perkauman,” katanya.

Zunar menegaskan bahawa perkauman telah berakar umbi dalam masyarakat kerana itu untuk merawat dan memulihkannya adalah satu tugas berat yang memerlukan penglibatan semua pihak - kerajaan dan rakyat - beliau pula cuba memperbetulkan keadaan ini melalui bukunya itu.

Buku itu akan dilancarkan pada Ahad, 10 November ini di Apom Store, Bangsar Village 1 Shopping Complex, Bangsar dari jam 12 tengah hari ke 6 petang. Ia juga boleh dibeli melalui laman web Zunar.

Lihat Komen