malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Genting Highlands: Operasi pembersihan tanah runtuh dijangka selesai malam ini
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 1:17 PM
Dikemaskini: 5:17 AM
ADS

Operasi pembersihan tanah runtuh di Jalan Genting-Amber Court di Genting Highlands dekat Kuantan, dijangka selesai malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani bagaimanapun berkata, operasi itu akan dihentikan sekiranya cuaca hujan atas faktor keselamatan.

"Ini kerana kami mendapati pergerakan tanah masih ada dan sesekali berlaku runtuhan kecil. Jika cuaca baik sepanjang hari, kemungkinan operasi boleh ditamatkan mengikut jadual.

"Setakat ini, kita telah membuat laluan alternatif hanya untuk laluan turun menggunakan kenderaan ringan dan pejalan kaki sahaja," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Yusry berkata operasi pembersihan hari ini melibatkan 41 anggota pelbagai agensi seperti bomba, polis, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dibantu kontraktor swasta di pusat peranginan itu.

Beliau juga mengesahkan 200 pelancong yang dilaporkan terperangkap di dalam sebuah hotel dan pangsapuri perkhidmatan yang terletak berhampiran lokasi kejadian juga sudah selamat dikeluarkan awal pagi tadi.

"Mereka dibawa dengan berjalan kaki secara berperingkat dalam kumpulan kecil dengan kumpulan terakhir keluar pada 4 pagi tadi. Pihak hotel menyediakan kenderaan perantara untuk membawa mereka ke lokasi selamat," katanya.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku sekitar 5.40 petang semalam, ekoran hujan lebat yang berterusan sejak 4 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Runtuhan itu bagaimanapun tidak melibatkan laluan utama ke Genting Highlands kerana ia berlaku di laluan untuk ke kawasan lain di pusat peranginan tanah tinggi terkenal itu.

- Bernama

Lihat Komen