malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K’jaan masih teliti cadangan jual pegangan Khazanah dalam PLUS
Diterbitkan:  Nov 6, 2019 12:40 PM
Dikemaskini: 4:41 AM
ADS

Kerajaan masih meneliti cadangan yang diterima untuk pengambilalihan pegangan Khazanah Nasional Bhd sebanyak 51 peratus di dalam PLUS Malaysia Bhd, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed zmin Ali.

Beliau berkata kerajaan sedang menimbangkan kesan daripada pengambilalihan PLUS dari segi implikasi kewangan bagi melaksanakan tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk mengurangkan kos menggunakan lebuh raya.

"Antara langkah yang kita fikirkan ialah kita boleh kurangkan kadar tol ataupun adakah boleh kita hapuskan tol dalam masa terdekat kerana kalau kita nak rujuk kepada manifesto (Pakatan Harapan), ia tidak dinyatakan begitu.

"Manifesto jelas menyatakan kita akan bincang secara berperingkat dengan syarikat konsesi. Semua ini masih dalam pertimbangan kerana kita tidak mahu membebankan kedudukan kewangan kerajaan, sementara memberikan bantuan kepada rakyat dan pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa Kementerian Kewangan akan mengambil alih pegangan Khazanah di dalam PLUS.

Menurut laporan berita, Kementerian Kewangan (MoF) dipercayai berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

Memetik sumber, laporan berita itu berkata MoF akan membeli pegangan dalam konsesi lebuh raya terbesar negara itu dan mengekalkan aset itu dalam pegangan sektor awam, manakala cadangan pengambilalihan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk dibincangkan.

Azmin berkata beliau masih belum melihat cadangan yang dibuat oleh MoF.

"Kita belum buat keputusan sebab sekarang (PLUS) dimiliki oleh Khazanah sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak 49 peratus. Dari segi teknikal, kedua-dua ini adalah cabang pelaburan kerajaan, jadi kita melihat bagaimana mereka boleh membantu mendukung dasar kerajaan untuk mengurangkan tol lebuh raya yang berkenaan.

"Saya masih belum melihat cadangan (dibuat oleh MoF) kerana saya percaya perkara ini diteliti oleh Kementerian Kerja Raya," katanya.

Putrajaya sebelum ini mengesahkan ia menerima empat tawaran rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

- Bernama

Lihat Komen