Pengiklanan

    PM: K'jaan akan pinda undang-undang zalim secepat mungkin

    (Dikemaskini )

    Kerajaan akan meminda undang-undang yang dianggap zalim seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan secepat mungkin, maklum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

    Beliau memberitahu pemberita di Putrajaya bahawa perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

    "Kita telah adakan dua mesyuarat tertutup tentang keperluan meminda undang-undang yang dianggap draconian (zalim) walaupun kita mungkin tidak dapat undang-undang itu sama sekali, tetapi kita akan ada perubahan bahagian-bahagian yang dikatakan draconian seperti menangkap dan simpan dalam tahanan tanpa dihadapkan dan dikenakan pertuduhan (di mahkamah) kita akan pinda termasuk terdapat dalam Sosma umpamanya.

    "Itu akan dilakukan secepat mungkin. Kita dapati bahawa kalau ia tidak dilakukan akan ada kemungkinan ia akan disalahgunakan," kata beliau.

    Dr Mahathir berkata pindaan berkenaan akan dibentangkan pada sidang parlimen sekarang atau akan datang.

    Sidang parlimen sekarang akan berlangsung sehingga 5 Disember ini.

    Dalam manifesto pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan telah berjanji untuk menghapuskan undang-undang "menindas". Antara lain, ia berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan hukuman mati mandatori.

    PH juga berjanji untuk menghapuskan undang-undang lain seperti Sosma, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

    Ditanya sekiranya usaha meminda undang-undang yang dikatakan zalim ini berkaitan dengan penahanan dan pertuduhan suspek simpatisan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), perdana menteri berkata,"kami telah berjanji sebelum ini tetapi kami menundanya kerana beberapa faktor.

    "Jadi, kami rasakan sekarang kami perlu mengambil tindakan segera supaya ia tidak disalahgunakan lagi."

    Pihak polis telah menahan 12 individu di bawah Sosma sebelum suspek dikenakan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan kerana didakwa menyokong kumpulan pengganas.

    Dua daripada 12 tertuduh termasuklah, Adun DAP G Saminathan dan P Gunasekaran.

    [Baca berita penuh]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih