malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya menteri, boleh beri sumbangan pada sekolah bila-bila masa'
ADS

Tiada undang-undang khusus di Malaysia menghadkan pemberian sumbangan oleh seorang menteri kepada sekolah pada waktu pilihan raya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata demikian susulan pendedahan sebuah akaun Facebook bahawa ahli parlimen Pulai itu memberi sumbangan RM5,000 kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chio, Kukup Laut, di Tanjung Piai, Johor semalam.

"Tak ada undang-undang di negara kita menyatakan boleh memberi masa PRK atau tak boleh beri. Saya menteri, saya boleh (memberi sumbangan) bila-bila masa," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Tambah Salahuddin, sumbangan berkenaan sudah dijanjikan sebelum PRK.

"Saya bertemu dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). Yang kebetulan saya menyampaikan beberapa sumbangan yang saya janjikan sebelum PRK. Itu sahaja.

"Sebab, surat (permohonan sumbangan) itu dihantar kepada saya beberapa bulan yang lalu.

"Seperti di parlimen saya parlimen Pulai termasuklah guru-guru di sana (Tanjung Piai) mengenali saya sebagai menteri anak tempatan Tanjung Piai. Mereka juga minta sumbangan dan saya bagi. Semalam sekolah itu dan kepada sekolah-sekolah yang lain," katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

SPR menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

PRK itu akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Wee Jeck Seng dari MCA yang mewakili BN, calon PH Karmaine Sardini , Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Lihat Komen