malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu royalti: Hadi dakwa ada masalah birokrasi Kementerian kewangan
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membayangkan adanya "birokrasi" dalam Kementerian Kewangan sehingga menyebabkan timbul masalah untuk urusan pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

Sedangkan, katanya, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri pada Februari lalu, Dr Mahathir Mohamad telah “membetulkan keadaan” dengan bersetuju memberikan semula pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu yang telah dibatalkan sebelum ini.

“Bila kami jumpa Dr Mahathir selepas PRU-14, Dr Mahathir membetulkan keadaan, kerana pembatalan royalti adalah hasil Perhimpunan Agung Umno (PAU). Ini tidak sah, PAU yang buat usul batalkan royalti, (sedangkan) PAU tiada hak membatalkan perjanjian Petronas ini.

“Maka Dr Mahathir menghidupkan semula, iaitu diberi balik royalti kepada Kelantan dan Terengganu.

“Cuma secara terus terang saya nak sebut di sini, berlaku masalah birokrasi di Kementerian Kewangan. Ini masalah yang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog sesi dialog Majlis Ramah Mesra Media bersama Presiden PAS dan Pelancaran Harakahdaily versi baru di Hotel EDC, Kuala Lumpur hari ini.

Pada tahun 2000, Umno Terengganu membawa usul untuk menarik balik bayaran royalti Terengganu dalam Perhimpunan Agung Umno dan digantikan dengan Wang Ihsan. Pada ketika itu, PAS merupakan kerajaan negeri Terengganu.

Berdasarkan perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri yang mengeluarkan petroleum pada 1975 bawah Seksyen 4 Akta Petroleum 1974, wang hasil bumi itu perlu dibayar Petronas sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan lima peratus lagi kepada kerajaan persekutuan.

Kelantan yang juga di bawah pentadbiran PAS turut tidak menikmati bayaran penuh royalti minyak sejak petroleum dikeluarkan dari luar pantai Kelantan pada 2004.

Pada 30 Oktober, di Dewan Rakyat, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan setakat ini adalah daripada dua lapangan pengeluaran, iaitu lapangan Bumi Selatan dan Suria Selatan yang berada dalam lingkungan tiga batu nautika daripada pesisir pantai Kelantan.

Sementara 10 lagi lapangan pengeluaran masih tidak mempunyai persempadanan perairan antara negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, justeru hasil daripada lapangan tersebut belum disalurkan kepada mana-mana negeri.

Hal itu menimbulkan ketidakpuasan hati khususnya dari anggota parlimen Kelantan, dan ada yang menyifatkan jawapan Azmin itu sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat Kelantan.

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan Azmin dan menjelaskan kerajaan hanya mahu mencari penyelesaian berhubung bayaran royalti kepada negeri-negeri terlibat.

Pada 14 Oktober, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa pembayaran royalti minyak Kelantan telah dilakukan bulan lalu selepas selepas anggota parlimen pembangkang mendakwa belum menerima bayaran royalti seperti yang dijanjikan.

Sehari kemudian, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata bayaran RM15.7 juta yang diterima Kelantan bukanlah royalti, tetapi wang ihsan, seperti lazim diterima oleh pentadbiran BN dahulu.

Dalam Janji ketiga Buku Harapan, PH berjanji akan memberi royalti yang sewajarnya kepada negeri pengeluar minyak, dan menghentikan budaya pemberian dana berdasarkan perkiraan politik.

Jumlah royalti juga dikatakan akan ditambah kepada 20 peratus atau nilai bersamaan kepada negeri-negeri berkenaan.

Lihat Komen