malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS sokong MCA kerana Melayu-Islam ‘terlalu majoriti’
ADS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan sokongan penuh PAS terhadap calon bukan Islam dari MCA, Wee Jeck Seng pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai adalah kerana wakil rakyat Melayu-Islam sudah “terlalu majoriti” dalam Muafakat Nasional.

Katanya, hal itu menyebabkan perlunya wakil rakyat bukan Islam bagi menonjolkan semangat Muafakat Nasional yang dimeterai September lalu.

“Kerana kita berpandangan untuk menonjolkan Muafakat Nasional, dengan melihat bukan konteks Tanjung Piai saja, tapi peringkat nasional seluruhnya.

“Oleh kerana Muafakat Nasional ini terlalu majoriti Melayu-Islam, (maka ia) memerlukan adanya wakil rakyat yang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan tentang sokongan partinya terhadap calon MCA semasa sesi dialog Majlis Ramah Mesra Media bersama Presiden PAS dan Pelancaran Harakahdaily versi baru di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam beberapa PRK sebelum ini, Abdul Hadi pernah menggesa ahli PAS supaya menyokong calon beragama Islam, malah Dewan Ulama PAS pernah menyatakan wajib bagi pengundi Islam menyokong calon bukan Islam BN berdasarkan kepada sifat keagamaannya.

Menjawab hal itu, Abdul Hadi mengulang pendiriannya bahawa di kalangan golongan bukan Islam, ada yang ekstrem dan ada yang tidak ekstrem, justeru tidak boleh diletakkan “dalam satu bakul yang sama”.

Pendirian anti hudud MCA

Malah, ketika ditanya tentang pendirian MCA yang berulang kali menyatakan bantahan terhadap RUU 355 berkaitan hudud sebelum ini, Abdul Hadi menyifatkannya sebagai “kebebasan beragama” dan tidak boleh disamakan dengan DAP.

“MCA pada masa itu bukan rakan dalam Pakatan Rakyat, bukan rakan dalam Barisan Alternatif. MCA ada hak atas konsep kebebasan beragama untuk beri pandangan dia.

“Tapi malangnya, DAP yang duduk sama-sama dalam Pakatan Rakyat, menentang dalam kempen yang agresif. Sebab itulah sikap kita antara DAP dan MCA belainan dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa PAS akan memastikan calon MCA mendapat sokongan penuh daripada pengikutnya.

“Kita akan pastikan MCA yang mewakili Muafakat Nasional, akan diberikan sepenuh undi terutamanya daripada penyokong PAS,” katanya dalam sesi sama.

Ketika mengulas tentang penyertaan Presiden Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz dalam PRK Tanjung Piai, Abdul Hadi dan Takiyuddin mengulang pendirian parti yang tidak menyokong langkah itu.

Berjasa merupakan salah satu parti politik dalam gabungan Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai PAS bersama Ikatan.

Piagam taawun siyasi

Tambah Takiyuddin, orang ramai mungkin kurang jelas dengan piagam taawun siyasi yang ditandantangani antara PAS dan Umno.

Katanya, dalam piagam yang ditandatangani pada 14 September 2019, dengan jelas dinyatakan ia merupakan kerjasama antara BN dan Gagasan Sejahtera, bermakna ia turut melibatkan parti komponen kedua-dua pihak termasuk MCA, MIC, Berjasa dan juga Ikatan.

“Itu salah satu prinsip utama PAS dan Umno, anggota Muafakat Nasional ini, akan memastikan tak ada mana-mana pihak bertanding antara satu sama lain.

“Bila BN bertanding, Gagasan Sejahtera mesti terima. Kalau kerusi itu diberikan kepada Gagasan Sejahtera pula, maka BN perlu terima,” katanya.

Malah, tambahnya, semangat itu akan diteruskan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti, iaitu PAS akan tetap menyokong mana-mana parti komponen BN yang dipesetujui bersama, sama ada parti MCA mahupun MIC.

Dalam perkembangan berkaitan, biarpun berdepan spekulasi mengenai status Gagasan Sejahtera susulan keputusan Berjasa bertanding dalam PRK Tanjung Piai, Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad mengesahkan bahawa gagasan itu tidak terjejas.

“Mesyuarat terakhir Gagasan Sejahtera baru berlaku dalam sebulan lebih. Dan InsyaAllah, masih ada Gagasan Sejahtera,” katanya pada sidang akhbar sama.

Lihat Komen