malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Presiden Cyprus mahu pasport Jho Low ditarik balik
Diterbitkan:  Nov 5, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM
ADS

Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades bersetuju agar pasport yang diberikan negara itu kepada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low ditarik balik.

"Sudah tentu ya," katanya dipetik oleh Cyprus Mail ketika ditanya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, Anastasiades, yang diminta mengulas mengenai laporan bahawa Jho Low diberikan kewarganegaraan walaupun didakwa ada kaitan dengan skandal 1MDB, menambah bahawa siasatan harus dilakukan terlebih dahulu untuk membatalkan pasport Jho Low.

Ditanya mengenai pemberian kewarganegaraan kepada pelabur asing yang meragukan, presiden itu berkata beberapa kes "jelas dengan sendirinya".

"Dan mungkin ada orang lain [menghendaki kajian semula] yang tidak tampil di depan umum.

"Semua yang diberi kewarganegaraan dengan melanggar kriteria ketat [yang sudah diperbaharui], akan dibatalkan secepat mungkin," tambahnya.

Anastasiades juga mengingatkan agar media tidak memainkan isu berkenaan secara berlebihan.

"Jika, contohnya, daripada 4,000 kewarganegaraan yang diberikan, didapati bahawa 10 atau 15 mungkin tidak wajar, saya tidak fikir ia seharusnya menyebabkan kekecohan hingga menjejaskan negara kita. Ia mungkin cuma kesilapan yang tak disengajakan," katanya.


BACA: 'Mereka kata Jho Low bedah wajah macam beruang, jalan seperti seladang'


Cyprus Mail juga memetik Anastasiades sebagai mempertahankan keseluruhan skim pelaburan yang disokong kerajaan yang Jho Low dan banyak lagi individu kontroversial, telah gunakan untuk mendapatkan pasport Cyprus yang juga memberi mereka status sebagai warga Kesatuan Eropah.

"Malangnya, kita sendiri cuba menghancurkan apa yang telah menjadi pemacu bagi syarikat pembinaan, untuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh peguam, akauntan, dan profesion lain.

"Pertumbuhan ekonomi dapat menurunkan pengangguran dengan ketara, dan secara umumnya negara sedang menyaksikan pertumbuhan," katanya.

Akhbar harian Cyprios, Politis pada hari Ahad melaporkan bahawa Jho Low memperoleh pasport Cyprus pada 18 Sept 2015, setelah dia memenuhi kriteria di bawah Rancangan Pelaburan Cyprus (CIP) untuk membuat deposit tunai lima juta euro (RM23 juta) di sebuah bank Cyprus untuk tiga tahun dan pembelian rumah kekal bernilai sekurang-kurangnya 500,000 euro (RM2.3 juta).

Menjawab laporan Politis, Menteri Dalam Negeri Cyprus, Constantinos Petrides semalam berkata kerajaan akan mengkaji semula CIP dan melihat desakan yang mengatakan Jho Low memperoleh kewarganegaraan walaupun pemeriksaan latar belakangnya menimbulkan keraguan.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) percaya bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah disalahgunakan dari 1MDB dan kini bekerjasama dengan Malaysia untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diseleweng.

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menghadapi perbicaraan berhubung skandal berkenaan sementara Jho Low masih sedang diburu pihak berkuasa.

[Baca berita asal]

Lihat Komen