malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Agensi KDN tak terlibat kad data dokumentasi warga asing
ADS

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen tidak terlibat dengan kad data dokumentasi warga asing yang dikeluarkan kepada warga asing, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata beliau memandang serius perkara itu dan tindakan tegas akan diambil.

“Itu (isu pengeluaran kad pekerja asing) tidak ada kena-mengena dengan Jabatan Pendaftaran (dan) Imigresen. Bila saya tengok laporan, saya minta ketua pengarah (kedua-dua) agensi meneliti sama ada kes itu palsu atau betul.

“Kalau betul dia (suspek menguruskan kad pekerja asing) telah langgar Akta Pendaftaran Negara 1959, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2019, di MAEPS Serdang, hari ini.

Hari ini Kementerian Dalam Negeri membuat laporan polis bagi menafikan kaitannya dengan kad itu yang didakwa dikeluarkan sebuah syarikat bernama Management Consultancy Sdn. Bhd di Sabah.

“KDN tidak pernah melantik pihak Mega Management Consultancy Sdn Bhd untuk menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

"Kad yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada warga asing dan tidak sama sekali akan diguna pakai dalam penentuan atau pemberian status kerakyatan oleh agensi kerajaan," kata KDN dalam kenyataan.

Menurut KDN lagi, kad itu tidak sah dan tidak diiktiraf oleh mana-mana agensi di bawahnya.

Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63, individu yang didapati bersalah melindungi pendatang asing tanpa izin di Malaysia boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10, 000 bagi setiap warga asing yang dilindungi, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, serta sebatan.

Lihat Komen