malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas wartawan Sinar Harian terima manfaat skim insurans pekerjaan
Diterbitkan:  Nov 3, 2019 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM
ADS

Lapan bekas kakitangan Sinar Harian termasuk lima wartawan yang kehilangan pekerjaan ekoran langkah syarikat mengecilkan saiz kakitangan hari ini menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Bekas wartawan tersebut iaitu Zaimatul Juwita Abdul Manaf, Rohana Ismail, Zumurni Hamzah, Azura Mohamad, Sapinah Ab Ghani, dan tiga kakitangan bahagian percetakan iaitu Ahmad Aiman Ahmad Nasim, Shamsul Irwan Md Zaki dan Zulmi Zakaria menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM17,800.

Bantuan disampaikan oleh Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob di Rumah Wartawan di Taman Sari di Kota Bharu dan turut di hadiri Ketua Zon Cawangan Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso negeri Muhammad Syahir Ammar Mohamed dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Ab Rahim.

Pada majlis itu juga kira-kira 15 bekas kakitangan Utusan Kelantan menyerahkan borang permohonan SIP.

Nora berkata selain bantuan kewangan menerusi SIP juga terdapat Program Penempatan Pekerjaan Semula yang meliputi program kaunseling kerjaya, carian pekerjaan, pemadanan kerja, penempatan pekerjaan dan juga latihan.

“Menerusi SIP, kita bersedia membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja untuk mendapatkan pekerjaan baru sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan selepas kehilangan kerja.

“Dari Jan hingga Sept tahun ini, Perkeso negeri juga telah menerima dan meluluskan sebanyak 434 permohonan faedah SIP, dan daripada jumlah itu seramai 264 pemohon telah berjaya kembali bekerja melalui inisiatif Program Penempatan Pekerjaan Semula Perkeso,”katanya.

Beliau berkata SIP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari tahun lalu itu bertujuan mengurangkan bebanan yang ditanggung pekerja yang kehilangan pekerjaan termasuk disebabkan pengecilan operasi syarikat, majikan bankrap dan sebagainya.

“Kita tidak mahu pencarum berasa tertekan apabila diberhentikan kerja, kerana kebanyakan mereka apabila diberhentikan seolah-olah tidak tahu hala tuju jadi dengan adanya skim insurans ini sekurang-kurangnya ia dapat menjadi motivasi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Sapinah Abdul Ghani, 35 yang telah berkhidmat hampir 11 tahun berkata, dia berterima kasih dengan keprihatinan Perkeso dengan manfaat yang diberikan.

“Program SIP ini menjadi motivasi kepada kami yang baru kehilangan kerja, dan sedikit sebanyak ia dapat membantu menampung perbelanjaan dan keperluan kami sementara sebelum mendapat pekerjaan baharu,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen