malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Model kerja sambil belajar tangani kebergantungan pekerja asing'
ADS

Model “bekerja sambil belajar” mungkin jadi trend baru pilihan pelajar dan majikan pada masa depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long.

Katanya beliau percaya model berasaskan latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) itu kelak mampu membantu negara dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Saya rasa ini adalah trend yang akan datang. Dalam TVET ini, sangat-sangat penting untuk kita melibatkan pihak industri, kerana industri mahukan orang yang sebegini (mempunyai kemahiran), bukan semata-semata (kelayakan) akademik.

“Inilah yang akan memandu dan memacu kita ke arah negara yang akan menggunakan tenaga pelajar sendiri, tidak lagi bergantung pada pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri forum “Anjakan paradigma dalam pendidikan dan latihan- Model Perantisan Kemahiran” di Universiti Cyberjaya di Cyberjaya hari ini.

Fokus utama dalam forum tersebut ialah program “Bekerja sambil belajar” (Earn while you learn), iaitu program penajaan industri terhadap pelajar lepasan SPM yang tidak layak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, yang dimulakan sejak 2017.

Program itu merupakan usahasama antara Aimsmet Global, Institut Pengurusan Perdagangan (ICM) United Kingdom, ACT Hubs Sdn Bhd, dan dikelolakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution.

Melalui program berkenaan, pelajar diambil bekerja sambil belajar oleh penaja untuk tempoh latihan tiga tahun, bagi melayakkan mereka mendapat sijil, diploma dan diploma lanjutan untuk setiap tahun latihan.

Pengambilan pelajar serta urusan bagi mendapatkan penaja dan tempat bekerja adalah dikendalikan oleh ACT Hubs Sdn Bhd.

Sepanjang program tersebut, pelajar diberikan elaun RM1,800 dan sejumlah RM550 daripadanya digunakan untuk membayar yuran latihan. Dalam seminggu, pelajar akan bekerja selama lima hari dan menghadiri kelas kemahiran selama sehari.

Menurut Pengarah Urusan Aimsmet Lifestyle Service, Prof Dr Jayles Yoh, sijil dan diploma yang diperoleh mereka oleh ICM itu boleh digunakan di serata dunia.

Tambahnya, program itu menyasarkan untuk mengambil 500 pelajar tahun hadapan dan seribu pelajar pada tahun 2021.

Forum itu turut disertai oleh chef tersohor negara, Chef Wan; pengasas A Cut Above, Winnie Loo, Presiden SME Malaysia, Michael Kang; CEO ICM, Adair Ford dan pengasas The Giving Bank Organization, Dr Janson Ang.

Antara syarikat penaja yang mengambil bahagian dalam program tersebut ialah Starbucks, Hilton Hotel, Sports Direct, Fish & Co dan banyak lagi. 

RUU galak lebih ramai penderma makanan

Dalam perkembangan lain, Ab Wahab berharap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Penderma Makanan 2019 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu akan menggalakkan lebih ramai pihak menderma makanan bagi membantu golongan memerlukan.

Selain itu, beliau turut menzahirkan keyakinan mencapai sasaran untuk meluaskan bank makanan siswa ke 123 IPT seluruh negara, jika mendapat kerjasama baik daripada pihak universiti.

Itu termasuklah persediaan tempat, pangkalan data pelajar B40 yang kurang berkemampuan dan sukarelawan bagi menjayakan bank makanan di sesuatu IPT yang mampu meringankan beban kira-kira 267,000 pelajar B40 di seluruh negara.

Beliau turut menyarankan wakil rakyat memperuntukkan sebahagian kecil peruntukan untuk teknologi retort yang dapat menjayakan pelaksanaan bank makanan di kawasan masing-masing.

Teknologi retort merupakan teknologi pembungkusan makanan yang dapat memastikan makanan tahan lebih lama dan hanya menelan kos sekitar RM30,000 ke RM40,000.

“Penderma makanan, mereka ini banyak surplus (lebihan makanan). Ada pihak-pihak hotel ini, sebenarnya banyak makanan lebih, tetapi mereka tak berani nak bagi.

“Pada saya, lebih baik guna beberapa puluh ribu (peruntukan kawasan) untuk beli tekonologi retort, daripada buat kenduri-kendara, buat (jamuan) katering makanan (untuk golongan kurang berkemampuan).

“Benda ini (bank makanan di kawasan) boleh berjaya. Tapi kesedaran dan kehendak itu mesti ada,” katanya lagi.

Untuk rekod, wakil rakyat PH menikmati peruntukan khas kawasan (parlimen) sebanyak RM1.5 juta selain RM300,000 peruntukan pengurusan pusat khidmat, manakala wakil rakyat pembangkang menikmati peruntukan RM100,000 seorang. Tiada peruntukan pengurusan pusat khidmat bagi ahli parlimen pembangkang.

RUU tersebut akan dibawa ke Dewan Negara dan jika diluluskan akan dibawa untuk kelulusan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan. 


Lihat Komen