malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
M'sia jadi sumber, transit militan IS, Abu Sayyaf - Laporan k'jaan AS
Diterbitkan:  Nov 2, 2019 5:10 PM
Dikemaskini: 10:07 AM
ADS

Laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai keganasan pada tahun 2018 telah menyatakan peranan berterusan Malaysia sebagai "sumber dan titik transit" bagi kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS).

Ia juga mengambil maklum langkah-langkah Malaysia dalam memerangi keganasan melalui pendakwaan undang-undang, rondaan sempadan dan pemantauan media sosial.

Laporan itu, yang diterbitkan oleh Jabatan Negara AS semalam, menyenaraikan empat insiden berkaitan dengan keganasan tetapi menyatakan tiada serangan berkaitan IS di Malaysia pada tahun lepas.

"Walaupun tidak ada serangan berkaitan IS di Malaysia pada tahun 2018, negara itu tetap menjadi sumber, tempat transit dan dengan ketara, negara destinasi untuk kumpulan pengganas termasuk IS, Kumpulan Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.

"(Mereka) yang disyaki penyokong IS yang telah diusir pulang dari Turki dan individu yang merancang untuk pergi ke selatan Filipina bagi menyokong kumpulan berkaitan IS telah menggunakan Malaysia sebagai tempat transit," kata laporan itu.

"Malaysia memantau, menahan, mengusir dan mendakwa di mahkamah mereka yang disyaki penyokong kumpulan pengganas.

"Malaysia juga bekerjasama dengan AS dan lain-lain pihak dalam meningkatkan keupayaan keselamatan sempadan di lapangan terbang dan di Laut Sulu, untuk menangani mesej pengganas di media sosial serta memperbaiki pendakwaan terhadap pengganas," katanya.

Empat kejadian yang berkaitan dengan keganasan pada tahun 2018 yang disebut dalam laporan itu adalah:

  • Satu cubaan penculikan yang tidak berjaya di kawasan perairan Malaysia yang tidak dinyatakan (Ogos);
  • Dua nelayan Indonesia diculik dengan ugutan wang tebusan tunai AS$1 juta oleh militan Kumpulan Abu Sayyaf di luar pantai Semporna, Sabah (11 Sept);
  • Dua ahli kumpulan penculikan untuk tebusan telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Malaysia di sebuah pulau berhampiran Kunak, Sabah (20 Sept); dan
  • Tiga anggota kru Malaysia diculik dari sebuah kapal tunda berhampiran Terumbu Pegasus di Sabah dan dibawa ke Filipina. Kapten kapal tunda itu telah ditembak di kakinya semasa penculikan. (5 Disember)

Laporan itu juga menyebut bagaimana polis pada 2018 telah menahan kira-kira 20 suspek di Sabah kerana terlibat dalam kegiatan berkaitan keganasan "termasuk penyeludupan militan ke selatan Filipina, yang membolehkan operasi penculikan untuk wang tebusan, merekrut kanak-kanak menjadi militan dan perisai manusia dan pembabitan dalam kejadian pemenggalan kepala yang dipimpin Kumpulan Abu Sayyaf."

Antara langkah antikeganasan Malaysia yang disebutkan laporan AS itu adalah arahan Bank Negara mengenai "Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital."

Ia juga mengambol maklum usaha berterusan Malaysia bekerjasama dengan badan-badan seperti PBB dan Asean untuk memerangi keganasan, termasuk menganjurkan bengkel untuk memerangi pesanan mesej ekstrem dalam talian.

Laporan itu merekodkan bagaimana kerajaan PH berikrar untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan keganasan termasuk Akta Pencegahan Jenayah 2012 (Poca), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Hasutan 1948.

Laporan itu juga menyatakan pengganas Malaysia terus menjadikan Filipina sebagai destinasinya.

"Ahli gabungan IS aktif di Filipina pada tahun 2018 termasuk menjadi sebahagian daripada Kumpulan Abu Sayyaf, Kumpulan Maute, Ansar al-Khalifa Filipina (AKP) dan elemen Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

"Filipina tetap menjadi destinasi pejuang pengganas asing dari Indonesia dan Malaysia, serta destinasi berpotensi bagi mereka yang melarikan diri dari Syria dan Iraq," kata laporan itu lagi.

Laporan itu juga merekodkan keganasan di banyak negara di seluruh dunia.

Ia memaklumkan bagaimana AS dan sekutunya pada 2018 berjaya mengundurkan Islamic State dari hampir semua wilayah yang ditawannya serta membebaskan kira-kira 7.7 juta orang dari pemerintahan IS.

"Walaupun IS hilang hampir semua wilayah fizikalnya, kumpulan itu membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, terutamanya menerusi usahanya untuk memberi inspirasi atau mengarahkan pengikut secara dalam talian [...]

"Selain itu, pengganas yang berpengalaman dalam pertempuran telah pulang dari zon perang di Syria dan Iraq atau mengembara ke negara-negara ketiga, menimbulkan bahaya baru," kata laporan itu memberi amaran.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen