malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Mari bersaing dengan dasar, bukan fitnah dan sentimen'
ADS

PRK TG PIAI | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyuarakan harapan agar kempen PRK Tanjung Piai tidak dipenuhi sentimen seperti kaum dan agama, sebaliknya dengan para calon bersaing mengemukakan dasar untuk pengundi.

"Biar kempen ini berjalan tanpa isu-isu sentimen. Marilah kita berkempen secara bersih, lawan satu sama lain berdasarkan dasar, bukan bertanding atas dasar fitnah dan tohmahan yang tidak berasas.

"Kita bertanding mana parti yang bersih, tak terlibat dengan rasuah, parti mana yang mampu bayar gaji kakitangan kerajaan. Mari kita bertanding atas kemampuan dan keupayaan menguruskan ekonomi," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, pagi ini selepas tamat proses penamaan calon.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan Ketua Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini akan berdepan etua MCA bahagian itu yang juga bekas anggota parlimen kawasan itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng.

Empat calon lagi ialah Wendy Subramaniam dari Gerakan, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dari Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), serta calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Ab Ghaffar.

Sementara itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sekali lagi mengatakan PH akan memberi tumpuan kepada lima perkara sepanjang kempen.

Perkara itu menurut Muhyiddin ialah menjelaskan isu pokok seperti ekonomi dan kos sara hidup, usaha menambah peluang pekerjaan di sana, isu kesihatan seperti klinik dan bantuan pemeriksaan kesihatan, kualiti hidup seperti isu pencemaran dan soal pendidikan.

"Jentera PH sudah lebih daripada bersedia dan sudah bergerak sejak sebulan lepas.

"Ia tidak akan menjadi petarungan yang mudah, ada perkara yang perlu ditangani dan perkara yang perlu dijelaskan lebih baik kepada rakyat," katanya yang juga menteri dalam negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini dengan tarikh mengundi pada 16 November. Pengundian awala akan dijalankan pada 12 November.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52, 986 orang pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah pengundi Melayu, Cina (41.52 peratus atau 22,000 pengundi), India (satu peratus atau 532 pengundi) dan Bumiputera Sabah (0.09 peratus atau 47 pengundi).

Lihat Komen