malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AS-China dijangka meterai perjanjian perdagangan
ADS

GLOBAL | Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka menandatangani satu perjanjian perdagangan dan majlis memeterai kesepakatan itu bakal diadakan di Iowa, kata Presiden Donald Trump lapor agensi berita Sputnik.

"Saya mahu perjanjian diadakan terlebih dahulu, kami sedang memikirkan ia mungkin diadakan di Iowa," kata Trump pada Jumaat.

"Ia mungkin menjadi pesanan terbesar dalam sejarah untuk petani, jadi bagi saya, Iowa amat sesuai, saya suka Iowa."

Trump berkata pihaknya sedang membincangkan mengenai lokasi dan Presiden China Xi Jinping juga telah menyuarakan kesediaan untuk bertemu di AS.

Pada awalnya, Trump dan Xi akan menandatangani perjanjian Fasa Pertama semasa sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Chile pada pertengahan November, namun dibatalkan ekoran kekacauan yang meletus.

Terdahulu pada Jumaat, Kementerian Perdagangan China berkata dalam satu kenyataan, pihaknya telah mencapai persetujuan dengan perunding perdagangan AS mengenai kebimbangan perdagangan dua hala selepas rundingan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Fasa Pertama perjanjian itu dijangka menyelesaikan pelbagai isu berkaitan harta intelektual, perkhidmatan kewangan dan eksport pertanian AS.

Trump berkata di bawah perjanjian itu China bersetuju membeli hasil keluaran pertanian AS bernilai antara AS$40 bilion-AS$50 bilion.

Perjanjian itu dilihat dapat meredakan perang perdagangan AS-China, yang pada pandangan ahli ekonomi pertikaian perdagangan boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia.

-Bernama

Lihat Komen