PRK TG PIAI | Mendakwa "Islam dibuli" selepas lebih setahun PH memerintah, dan calon BN pula dianggap langsung tidak membawa aspirasi Melayu-Islam, Berjasa mengumumkan mereka akan meletakkan calon bagi merebut kerusi Tanjung Piai pada 16 Nov ini.
Presiden Berjasa, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, hari ini diumumkan sebagai calon parti itu dan bakal berdepan sekurang-kurangnya dua calon lain, masing-masing mewakili PH dan BN.
Katanya, sebelum ini Berjasa menyokong kerjasama PAS dan Umno demi mengukuhkan kesepakatan sesama parti politik Melayu.
Namun, Badhrulhisham berkata tindakan BN memberi laluan kepada pemimpin MCA untuk bertanding di Tanjung Piai tidak membawa aspirasi orang Melayu Islam.
"Sehubungan itu Berjasa mengambil keputusan untuk menghantar calon ke PRK Tanjung Piai," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman calon di Ibu Pejabat Berjasa Puchong hari ini.
Badhrulhisham, 56, yang lebih dikenali sebagai Dr Badh juga berkata keputusan Berjasa meletakkan calon selaras dengan prinsip pertubuhan itu selama ini, iaitu mengajak orang ramai memberikan undi kepada calon "Muslim berwibawa".
Katanya, Berjasa harap pengundi Tanjung Piai akan membuat pilihan yang wajar dan bijak berikutan kegagalan PH menunaikan janji, selain pakatan itu didakwanya sedang didominasi DAP.
Calon PAS dulu ahli Berjasa
Untuk rekod, dakwaan tersebut selari dengan apa yang diuar-uarkan oleh Umno dan PAS selama ini.
Menurut Badhrulhisham, mendapatkan semula kuasa politik Melayu melalui calon Muslim berwibawa adalah satu keperluan bersifat nasional dan keperluan itu turut terpakai di Tanjung Piai.
Sementara itu, Badhrulhisham menafikan keputusan bertanding itu akan menjejaskan persefahaman politik dalam kalangan parti Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS.
Menurutnya, kerjasama Umno-PAS tidak ada kena mengena dengan keputusan Berjasa bertanding di PRK Tanjung Piai.
"Kita tidak pernah tandatangan permuafakatan nasional (sebaliknya itu hanya) antara PAS dan Umno.
"Walaupun diberitahu sebagai Gagasan Sejahtera dan sebagainya, PAS tidak pernah berbincang dengan Gagasan Sejahtera tentang muafakat dengan Umno," jelasnya.
Gagasan Sejahtera merupakan pakatan didakwa sebagai blok kuasa ketiga yang lahir pada 2016 dan dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
Pada sidang media itu juga Badhrulhisham menafikan penyertaan Berjasa dalam PRK kali ini akan memberi kesan kepada undi Melayu untuk BN.
"Kalau PH menang, BN akan kata ia berlaku kerana Berjasa, kalau BN menang, PH pula berkata kerana Berjasa... sama saja," katanya.
Ditanya peluang mereka dalam PRK kali ini, Badhrulhisham memberitahu Berjasa mampu mengungguli persaingan dengan kelebihan antara 1,500 hingga 2,000 undi.
Beliau juga mendedahkan pada PRU ke-14 lalu, calon yang diturunkan PAS untuk bertanding di Tanjung Piai adalah anggota Bersaja.