malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isa Samad serah permohonan baru dapatkan pasport
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 27 Nov untuk mendengar permohonan bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Abdul Samad yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk menunaikan umrah dan melawat anaknya di United Kingdom.

Mohd Isa, 70, yang merancang untuk menunaikan umrah pada 10 Disember ini, mengemukakan permohonan melalui peguam Julie Faralisa Abd Jais selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

"Ini adalah permohonan baru anak guam saya untuk mendapatkan sementara pasport bagi menunaikan umrah pada 10 Disember ini serta melawat anaknya di luar negara.

"Mahkamah menetapkan 27 Nov untuk pendengaran berhubung permohonan itu," kata Julie.

Mohd Isa menyerahkan pasportnya kepada mahkamah untuk disimpan selepas beliau didakwa atas pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah dan kesnya masih di peringkat perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Perbicaraan akan bersambung semula pada 26, 27 dan 28 November ini.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu, menolak permohonan pemimpin Umno itu untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi menunaikan umrah.

Hakim Azura Alwi dalam keputusan menolak permohonan itu berkata bahawa tiada keperluan mendesak bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lihat Komen