BERITA

'Pendirian PAS di Tg Piai lain dari PRK Cameron' - Mahfuz

31 Oct 2019, 6:18 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

PRK TG PIAI | Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mahfuz Omar mempertikaikan sokongan PAS terhadap calon BN bagi pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.

Mahfuz berkata ini kerana langkah tersebut jelas berbeza dengan tindakan PAS sebelum ini yang menggesa ahli partinya memberi keutamaan menyokong calon Islam sekiranya berlaku pertembungan dengan calon bukan Islam.

“Kenyataan baru (PAS) menyokong calon daripada MCA merupakan pembodohan terhadap ahli-ahli dia dan rakyat Malaysia.

“Walaupun di Cameron Highlands mereka menyatakan bahawa wajib bagi orang Islam menyokong calon daripada orang Islam apabila bertembung dua pilihan antara calon orang Islam dengan bukan Islam.

“Tapi di Tanjung Piai ada pula dalil-dalil baru yang mungkin digunakan oleh pimpinan PAS untuk menghalalkan tindakan mereka bagi menyokong calon BN dari parti MCA,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata PAS cuma mengambil kesempatan demi kepentingan politik parti itu.

“Jadi saya anggap ini satu pembodohan yang dilakukan oleh pimpinan ulama PAS terhadap ahli-ahli dan penyokong mereka serta seluruh seluruh rakyat Malaysia dengan politik murahan mereka.

“Politik yang hanya mencari kesempatan untuk kepentingan mereka,” katanya.

Pada 25 Jan lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam pada PRK Cameron Highlands wajib menyokong calon BN Ramli Mohd Nor, yang mempunyai sifat keagamaan dan rekod bersih.

Katanya, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang didakwanya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tidak dapat disembunyikan terhadap Islam.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pagi tadi menjelaskan parti itu berharap pemilihan Wee yang juga ketua bahagian MCA itu akan membawa pendekatan politik matang dan tidak melampau.

“Sokongan ini adalah selaras persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada 14 Sept lalu,” katanya.

Wee pernah menjadi MP Tanjung Piai selama dua penggal mulai 2008, sebelum tewas tipis kepada calon PH, Dr Mohd Farid Mohd Rafik pada PRU14 lalu dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PAS.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah secara bergurau berkata PAS perlu menyokong calon PH, Karmaine Sardini yang merupakan calon Islam dan mempunyai rekod baik.

“Bagaimana mereka (PAS) akan berkempen di Tanjung Piai kerana mereka menyokong dan bekerjasama rapat dengan Umno. Saya rasa PAS perlu sokong calon PH.

“Mereka pernah berkempen menggunakan isu kaum dan agama untuk memilih calon di tempat lain. Jadi, terserah kepada rakyat untuk lihat parti mana yang berterus-terang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH tidak pernah menggunakan sentimen agama dan kaum sewaktu berkempen dalam PRK sebelum ini.

“Di mana kita letak calon itu bergantung pada perkiraan, sebab itu kita tidak boleh berkempen yang mengatakan pilihlah calon Cina atau Melayu dan sebagainya.

“Kalau kita betul-betul parti yang memahami kedudukan Malaysia yang majmuk dan keperluan kaum, rakyat dan agama, sudah pasti kita akan pilih calon pelbagai kaum.

“Ada masa kami letak calon Melayu dan ada masa kami letak calon Cina. Kami tidak berkempen kata mesti pilih yang Islam saja,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dr Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 2 November manakala pengundian pada 16 November depan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.