malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu manipulator dolar AS: M'sia masuk senarai dipantau petanda baik - Lim
ADS

PARLIMEN | Menteri Kewangan Lim Guang Eng menjelaskan bahawa kemasukan Malaysia dalam senarai pemantauan Amerika Syarikat terhadap manipulasi mata wang dolar menunjukkan bahawa ekonomi negara berada pada tahap yang baik.

Katanya, hal itu berdasarkan dua daripada tiga kriteria yang digunakan jabatan perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dalam menentukan senarai tersebut, iaitu nisbah lebihan akaun semasa imbangan pembayaran dan lebihan dagangan dua hala dengan AS.

“Ini sebenarnya menunjukkan satu pengiktirafan besar, bahawa Malaysia dari segi prestasi ekonomi telah mencatat pencapaian yang boleh dianggap baik, dari sudut nisbah lebihan akaun semasa imbangan dan lebihan dagangan dua hala (dengan AS).

“Kerana pencapaian positif ini dimasukkan dalam senarai pantau (wathlist).

“Tapi saya ingin menjamin, bahawa kita akan memastikan bahawa sekadar senarai pantau, kalau boleh dikeluarkan, tapi bukan dengan memastikan prestasi kewangan jatuh menjunam,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Ronald Kiandee (PH- Beluran) tentang laporan Bloomberg yang menyatakan kemungkinan Malaysia dimasukkan dalam senarai negara yang memanipulasi mata wang AS.

Lim berkata kemungkinan Malaysia dilabel sebagai manipulator mata wang adalah rendah kerana hanya memenuhi dua daripada tiga kriteria tersebut.

Dalam kriteria tersebut, nisbah lebihan akaun semasa pembayaran negara melebihi kadar dua peratus ditetapkan, iaitu pada tahap tiga peratus, manakala lebihan dagangan negara dengan AS melebihi AS$20 bilion ditetapkan, iaitu pada tahap AS$25.7 bilion, untuk tempoh dari Julai 2018 hingga Jun 2019.

Kriteria ketiga yang tidak dipenuhi ialah jumlah belian mata wang asing bersih sekurang-kurangnya dua peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tempoh enam bulan dalam tahun tersebut.

“Tapi kita takkan dilabel sebagai pemanipulasi, kerana Malaysia memang akur dan tidak melanggar semua peraturan ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau mana-mana standard piawaian antarabangsa,” jelasnya lagi.

Negara lain yang dimasukkan Perbendaharaan AS dalam senarai pada hujung Mei lalu itu ialah Singapura, Vietnam, China, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Itali dan Ireland.

Ini selepas Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin dilaporkan menurunkan had kelayakan ke dalam senarai pemantaua itu. 

Negara dengan lebihan akaun semasa bersamaan dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini disenaraikan, turun daripada tiga peratus sebelum ini.

Had lain lain termasuk campur tangan berterusan dalam pasaran bagi mata wang sebuah negara dan lebihan dagangan dengan AS sekurang-kurangnya AS$20 bilion. Negara yang memenuhi dua daripada tiga kriteria itu akan dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Malaysia menepati dua daripada tiga kriteria tersebut dalam keadaan lebihan dagangan dua hala yang ketara dan lebihan akaun semasa direalisasikan 2.1 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ronald tentang kemasukan Malaysia ke dalam senarai itu berkemungkinan satu alasan AS untuk mengenakan tindakan seperti sekatan atau tarif ke atas negara, Lim menjawab kemungkinan itu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Katanya, sekatan ekonomi akan memberi kesan kepada negara baik dari segi perdagangan mahupun pelaburan memandangkan AS merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar dan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar buat negara.

“Bila kita lihat dasar baru ekonomi AS, seakan-akan mereka tak mahu patuhi peraturan yang mereka sendiri gubal. Sekarang mereka nak buat secara unilateral.

“Malaysia sekali lagi meminta AS, kalau boleh balik ke pangkal jalan iaitu dengan menegakkan sistem multilateralisme dalam perdagangan atau ekonomi.

“Janganlah ada konfrontasi melalui sekatan ekonomi dan tarif, tapi menerusi perbincangan. Supaya kita janganlah lawan, kita jadi kawan supaya semua dapat manfaat dan untung,” katanya. 

Lihat Komen