malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam: 4 suspek bakal berdepan dakwaan baru berkaitan LTTE
ADS

Dua adun DAP dan dua individu lagi yang didakwa mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dijangka dihadapkan dengan pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Peguam Harshaan Zamani, yang merupakan sebahagian daripada pasukan peguam suspek, memberitahu Malaysiakini bahawa anggota DAP V Suresh Kumar turut dijangka didakwa buat pertama kali esok.

"Kesemua lima mereka dijangka didakwa pada pukul lapan pagi esok," kata Harshaan.

Semalam, tiga daripada empat individu yang akan berdepan pertuduhan baru - Adun Gadek G Saminathan, Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, dan S Chandru - didakwa mengikut Seksysn 130J(1)(a) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Melaka.

Dakwaan terhadap mereka berkaitan dengan menyokong LTTE dan memiliki serta mempamerkan barang berkaitan dengan kumpulan itu.

Saminathan juga dihadapkan dengan pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, kerana memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit.

Suspek keempat, juruteknik berusia 27 tahun S Arivainthan, didakwa mengikut Seksyen Section 130J(1)(a) Kanun Keseksaan kerana menyokong LTTE sejak 2014, di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Sejumlah 12 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa memiliki kaitan dengan LTTE.

Sepuluh daripadanya, termasuk lima yang diwakili pasukan peguam Harshaan, didakwa di mahkamah semalam.

Semakan atas talian mendapati bukan setakat lima suspek, tetapi tujuh yang akan berdepan pendakwaan baru di tiga pendengaran berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Mereka ialah B Subramaniam, A Kalaimughilan, R Sundram, M Pumugan, S Thanagaraj, S Teeran, V Balamurugan.

Di kalangan mereka, Subramaniam merupakan suspek yang akan didakwa buat kali pertama.

Awal minggu ini, Kalaimughilan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Sundram di Mahkamah Sesyen Sepang, Pumugan dan Thanagaraj di Mahkamah Sesyen Butterworth, Teran di Mahkamah Sesyen Segamat, dan Balamurugan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Pendakwaan esok akan dibaca di depan tiga hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, iaitu Rozina Ayob, Azura Alwi, and Azman Ahmad.

Lihat Komen