malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Isu boikot minyak sawit bukan penghalang M'sia bersuara isu sejagat'
ADS

Kerajaan tidak pernah memandang remeh terhadap gerakan boikot minyak sawit Malaysia oleh pihak tertentu di India, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak seharusnya menghalang Malaysia daripada bersuara di pentas antarabangsa berkenaan isu-isu tertentu.

“Kita harus menanganinya (isu boikot) dengan bijaksana supaya tak keruhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara ini.

“Tapi tak bermakna Malaysia tak boleh bersuara di pentas antarabangsa untuk isu-isu keadilan sejagat dan keharmonian dalam dunia pada hari ini,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab celahan Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang meminta kerajaan memandang serius isu boikot tersebut, memandagkan jumlah import kelapa sawit oleh India adalah amat besar.

India yang merupakan pengimport terbesar minyak sayuran dunia, bergantung kepada Malaysia dan Indonesia bagi mendapatkan bekalan minyak sawitnya.

India merupakan pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia, dengan kira-kira 150,000 tan sebulan, dan pada tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke India bernilai AS$1.65 bilion.

Isu boikot minyak sawit Malaysia oleh rakyat India timbul susulan ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 27 September dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74 di New York.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir dilaporkan berkata "walaupun ada resolusi mengenai Jammu dan Kashmir, negara itu sebaliknya terus ditawan dan diduduki" dan menggesa India untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan masalah itu.

Ucapannya mengundang kemarahan rakyat India di media sosial, dan ini disusuli dengan tindakan Kementerian Luar India pada 4 Oktober lepas yang menyuarakan bantahan terhadap kenyataan Dr Mahathir mengenai Kashmir.

Pada 5 Ogos lepas, kerajaan India bertindak memansuhkan status autonomi khas diperoleh Jammu dan Kashmir selain mengenakan sekatan keselamatan, termasuk memotong perkhidmatan internet dan talian telefon atas alasan mengelak berlakunya bantahan di kawasan terbabit.

Mengulas lagi mengenai hal itu, Azmin berkata, tugas memperbaiki hubungan antara dua negara tidak boleh dibebankan hanya ke atas duta besar Malayisa di India, tetapi turut dipikul oleh semua kementerian secara kolektif.

Malah, katanya, perdana menteri sendiri telah menulis surat kepada semua ketua negara dalam Kesatuan Eropah untuk menjelaskan kedudukan industri sawit di Malaysia.

“[...] Dalam pertemuan beliau dengan pemimpin dunia, ini antara topik yang menjadi agenda tetap beliau.

“Kita harapkan masyarakat antarabangsa dapat memahami bahawa eksport sawit dari Malaysia amat penting untuk menjamin kestabilan ekonomi antara negara-negara yang kita berdagang pada hari ini,” katanya lagi.

Lihat Komen